PRN Melaka: Bertembung sesama sendiri hanya ulang kekalahan PRU14

Roslan Shahir
Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pertembungan sesama sendiri Maufakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya mengulangi episod kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir menyarankan agar pemimpin parti itu dapat menyatukan semula gabungan parti politik terbabit dalam PRN Melaka kelak.

"Kita (Pas) tidak punya banyak masa, tinggal kurang tiga minggu lagi (hari) penamaan calon, hendak ambil jalan mudah, 'kerat' semua hubungan, kita tanding sama sendiri kerana kononnya nak uji kekuatan.

"MN dan PN berlaga sesama sendiri, menang sorak bumi bertuah punah tergadai. Itukah penyelesaian terbaik," soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Mengulas lanjut Roslan berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Pas ke-66 di Kota Bharu pada tahun lalu menyebut dalam ucapan dasarnya bertajuk ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini cabaran sama terletak pada bahu Pas. Ke hadapan lah para pimpinan dan para ulama kita untuk berunding dan bawa perdamaian bersandarkan sumber Quran dan Hadis yang telah membawa kejayaan kepada misi dakwah junjungan kita.

"Hati yang keras hanya akan mengundang padah dan akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Kita bakal mengulangi nestapa PRU14," ujarnya.

Beliau berkata, umat Melayu Islam bukan keras hatinya sebagaimana bangsa Arab di zaman Rasulullah SAW sebaliknya hati umat Melayu lembut dan pemaaf.

"Pimpinan kita jangan sekali-kali berputus asa, pujuk dan sedarkan lah semua kepimpinan bahawa yang kita perlukan adalah penyatuan bangsa elakkan pertembungan sesama sendiri.

"Insya-ALLAH akan gagah dan perkasa maruah bangsa dan agama serta Melaka akan kembali megah sebagaimana dahulu kiranya bersatu umat Melayu Islam," katanya.