Awas penjenayah alam sekitar!

Isu pencemaran sungai merupakan ancaman keselamatan persekitaran yang tidak boleh dibiarkan tanpa pendekatan lebih strategik.
Isu pencemaran sungai merupakan ancaman keselamatan persekitaran yang tidak boleh dibiarkan tanpa pendekatan lebih strategik.
A
A
A

BEBERAPA kes pencemaran sungai yang dilaporkan sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa masyarakat tidak peka soal kebersihan.

Dalam kejadian pada 15 September, dilaporkan sembilan individu yang dipercayai terbabit dalam insiden pembuangan bahan kimia di sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas telah ditahan.

Penahanan sembilan suspek itu bagi membantu siasatan lanjut kes yang menyebabkan empat penduduk sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan manakala 102 lagi terpaksa dipindahkan.

Pada 30 September lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini terutama Bandar Raya Johor Bahru.

Dalam kejadian itu, bukan sahaja ratusan plastik sampah, malah peti sejuk, tayar dan sisa pokok ditemui sewaktu kerja pembersihan di sungai, parit, longkang serta saliran dalam kejadian banjir kilat di bandar raya itu.

Kajian yang dilakukan JPS Johor itu susulan baginda kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air di kawasan bandar raya itu.

Baginda bertitah, hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati banjir kilat melanda kawasan bandar raya itu bulan lalu adalah akibat sistem saliran tersumbat dengan sampah dan sisa binaan.

“Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.

“Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB. Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan. Masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai. Perbuatan seperti ini kelak menyumbang kepada berlakunya banjir,” titah baginda.

Hukuman

Artikel Berkaitan:

Rentetan beberapa insiden pencemaran yang berlaku itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah membuat kajian dan mencadangkan supaya beberapa pindaan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (fasa satu) dipertimbangkan oleh kerajaan.

Menurut Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, antara cadangan pindaan fasa satu itu ialah mewujudkan hukuman mandatori penjara tidak melebihi lima tahun terutama bagi kesalahan pencemaran air dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Selain itu, cadangan berkenaan juga mewujudkan denda minimum tidak kurang RM5,000 dan denda maksimum tidak lebih RM10 juta.

Pindaan lain yang dicadangkan ialah melibatkan kenaikan kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntukkan. Bagi kesalahan dan peruntukan melibatkan standard pelepasan pula akan diperkukuhkan dengan mewujudkan peraturan khusus bagi membolehkan tindakan pendakwaan diambil.

Tuan Ibrahim juga berkata, pindaan dicadangkan selepas rakyat mendesak hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar terutama melibatkan kes pencemaran sungai.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya mewujudkan ejen perisikan awam untuk menyalurkan maklumat mengenai pelakuan tidak bertanggungjawab yang mencemarkan kawasan awam.

Justeru, janganlah kita mementingkan diri sendiri dengan mengabaikan soal kebersihan alam sekitar.

Isu pencemaran sungai merupakan ancaman keselamatan persekitaran yang tidak boleh dibiarkan tanpa pendekatan lebih strategik. Ia juga boleh menjejaskan imej negara dan memperlihatkan peradaban kemanusiaan rakyat di negara ini.

* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian