Himpunan ICERD: Beri ruang mereka zahirkan keresahan

Dr Mohd Asri Zainul Abidin - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Mohd Asri Zainul Abidin - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan aman untuk menegaskan isu-isu semasa lain membabitkan kepentingan umat Islam masih relevan untuk diadakan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ini mengambil kira suasana umat Islam memerlukan suara siyasah yang jelas di saat ini.

“Sekalipun hari ini kita mungkin berbeza pendapat dalam beberapa hal, namun kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan tokoh-tokoh Muslim dalam Pas, Umno, Bersatu, dalam kalangan PKR dan terdapat juga dalam kalangan Amanah merupakan harapan siasah umat Islam di Malaysia. Apabila tokoh-tokoh ini berhimpun dan bersuara, mereka mewakili rasa hati umat Islam yang bersama mereka.

“Realitinya, umat Islam hari gusar dengan perkembangan mutakhir. Berilah ruang untuk mereka menzahirkan keresahan itu dalam suasana yang aman,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Gerakan Pembela Ummah sebelum ini menegaskan himpunan bantahan ICERD pada 8 Disember ini akan tetap diteruskan walaupun kerajaan menolak ratifikasi konvensyen itu.

Selain sebagai tanda kesyukuran terhadap penolakan itu, objektif himpunan tersebut juga sebagai bantahan berterusan sebarang ancaman terhadap agama Islam, institusi raja-raja, bangsa Melayu serta bumipuetra Sabah/Sarawak dan Bahasa Melayu sebagaimana dijamin Perlembagaan (Perkara 153).

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas keluar arahan kedua kerah ahli ke himpunan ICERD]

Menurut Mohd Asri, perhimpunan aman merupakan antara perkara yang diperjuangkan oleh ramai tokoh-tokoh politik dalam kerajaan hari ini sebelum mereka memerintah.

Artikel Berkaitan:

“Maka, tidaklah janggal untuk mana-mana pihak berhimpun secara aman dengan syarat mereka mengikut lunas undang-undang. Apatah lagi jika rekod pihak berkenaan sebelum ini terbukti mereka tidak bertindak ganas dalam perhimpunan-perhimpunan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perhimpunan aman itu boleh dianggap ikhlas demi kepentingan umat jika ia bebas dari slogan kepartian dan tidak berkempen menaikkan parti-parti politik tertentu.

“Ia hendaklah satu perhimpunan rentas parti dan rentas kepentingan kelompok. Perhimpunan untuk umat, daripada umat dan kepada umat,” katanya.

Katanya lagi, perhimpunan itu juga tidak boleh menjadi seruan menzalimi mana-mana agama dan bangsa lain yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap umat Islam.

“Seruan Islam ialah mengajak kepada keharmonian hidup bersama mereka yang cintakan kedamaian. Saya percaya pihak penganjur memahami hal ini.

“Saya ingin mengingatkan mereka yang ingin menyertai perhimpunan aman itu agar mengamalkan akhlak Islam iaitu tidak memaki hamun, mencarut, melaungkan ungkapan yang menyanggahi prinsip Islam, mengelakkan tingkahlaku yang bercanggah dengan ajaran Islam serta menghormati hak jalan.

“Demikian juga hendaklah mematuhi arahan pihak keselamatan demi kebaikan negara,” katanya.