Pemilihan calon PRN: MIC Melaka serah kebijaksanaan presiden

Mahadevan
Mahadevan
A
A
A

MELAKA - MIC Melaka menyerahkan kepada kebijaksanaan presiden parti itu untuk membuat keputusan pemilihan calon bagi salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusinya, Datuk M.S Mahadevan berkata, setakat ini difahamkan tujuh senarai calon diserahkan kepada presiden untuk diperhalusi.

Menurutnya, pada masa sama kesiapsiagaan jentera parti itu penting bagi memastikan semua calon komponen Barisan Nasional (BN) berjaya menawan hati pengundi termasuk calon MIC supaya tidak wujud kerajaan campuran.

"Jentera pilihan raya MIC memang telah siap sedia dan berharap BN kembali berkuasa," katanya selepas program penyampaian sumbangan Deepavali anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) di Seri Bendahara, di Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.

Tambah Mahadevan,berdasarkan kesepakatan komponen BN sebelum ini, telah bersetuju meletakkan calon tunggal MIC di kerusi DUN Gadek, namun sekiranya ditukar bertanding kerusi DUN lain, jentera parti bersedia berdepan segala cabaran

."Dalam 28 DUN memang satu DUN dikhaskan untuk masyarakat India (MIC) dan setakat ini kami dengar kemungkinan besar DUN Gadek.

"Namun apa sahaja diputuskan oleh pucuk pimpinan MIC dan juga pemimpin tertinggi BN, MIC negeri akur," katanya.

Ditanya mengenai sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Gadek yang pernah dimenangi pada PRU ke-13 atau sebaliknya, Mahadevan menjawab beliau telah memaklumkan kepada presiden parti untuk memberi laluan kepada calon lain.

Artikel Berkaitan:

"Selaku Pengerusi MIC Negeri Melaka, saya akan bantu calon yang akan dikemukakan oleh presiden dan BN," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:PRN Melaka: Agihan kerusi PH dimuktamad Selasa depan