PRN Melaka: Agihan kerusi PH dimuktamad Selasa depan

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Rundingan kerusi membabitkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Selasa depan, kata Pengerusi PH negeri, Adly Zahari.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka berkata, turut akan dimuktamadkan adalah berkaitan soal pemilihan calon yang akan bertanding mewakili PH dalam pilihan raya berkenaan.

"Kami yakin sebelum pertengahan minggu hadapan kami sudah boleh muktamadkan. Parti Amanah setakat ini, kami jangka akan bertanding lapan hingga 10 kerusi.

"Ada beberapa kerusi lagi belum dimuktamadkan.

Jadi kami akan adakan rundingan lanjut dengan rakan-rakan PH,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program pembersihan Pantai Puteri #IniRumahKita di sini pada Sabtu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi.

Dalam pada itu, Adly yang juga bekas ketua menteri turut mengesahkan PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). - Bernama