Rahang Historical Rail Tourism produk pelancongan baharu di NS

Ketua Unit Pelancongan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Shamaruddin Saidin (kanan) menunjukkan tahun yang tertera pada rel keretapi itu membuktikan ia digunakan pada 1929 yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Kampung Chedang. - Foto Bernama
Gambar kecil:Tahun yang tertera pada rel keretapi membuktikan ia digunakan pada 1929 dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Kampung Chedang.
Ketua Unit Pelancongan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Shamaruddin Saidin (kanan) menunjukkan tahun yang tertera pada rel keretapi itu membuktikan ia digunakan pada 1929 yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Kampung Chedang. - Foto Bernama Gambar kecil:Tahun yang tertera pada rel keretapi membuktikan ia digunakan pada 1929 dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Kampung Chedang.
A
A
A

SEREMBAN - Rahang Historical Rail Tourism berusia lebih 100 tahun mampu menjadi produk pelancongan baharu di negeri ini serta berupaya mempromosikan kawasan warisan bersejarah kepada pengunjung, kata Ketua Unit Pelancongan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Shamaruddin Saidin.

Beliau berkata, Rahang Historical Rail Tourism yang terletak di Kampung Chedang itu merupakan laluan kereta api Seremban-Port Dickson dibina pada 1891 dan merupakan laluan kedua di Malaysia selepas Kuala Sepetang (Port Weld)-Taiping yang penting semasa era penjajahan British.

Katanya, laluan kereta api sepanjang 40 kilometer dari Seremban ke Port Dickson berkenaan ditutup sepenuhnya pada 2008.

"Ia turut menghubungkan Seremban (Sungei Ujong)-Port Dickson iaitu pengangkutan terpenting bagi aktiviti perlombongan biji timah, kopi serta getah sebelum dieksport ke Eropah pada masa dahulu.

"Jadi, hari ini kita ingin menguar-uarkan kepada orang ramai khususnya pelancong dalam dan luar dari negeri ini mengenai keunikan laluan ini yang mempunyai nilai sejarah tersendiri sekali gus menarik kedatangan pelancong ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Gotong-Royong Rahang Historical Rail Tourism 2021 (Community Base Tourism) di sini, hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang Mary Josephine Prittam Singh.

Dalam pada itu, Shamaruddin berkata, kawasan pelancongan itu dijangka dibuka kepada orang awam awal Januari depan dan kini kerja-kerja menaik taraf infrastruktur serta memperindahkan kawasan sedang dijalankan termasuk pembinaan papan tanda sejarah dan replika.

"Keunikan tempat ini bukan sahaja mempunyai laluan kereta api malah ia berhampiran dengan gerai makan yang sering menjadi tumpuan pengunjung iaitu 'Warung Bambam' dan jambatan Bakar Batu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamaruddin berkata, program gotong-royong ini dimulakan dengan membersihkan kawasan laluan dari jambatan serta mengecat pagar lama kereta api yang terdapat di Jalan Rasah.

Katanya, program gotong-royong yang diadakan ini berkonsepkan 'Community Base Tourism' dengan penglibatan masyarakat setempat dalam usaha memelihara dan memulihara khazanah warisan yang sedia ada.

Beliau berkata, ia juga dapat mempromosikan Bandar Seremban sebagai satu destinasi pelancongan yang menarik dan bersih untuk pelancong dari luar dan pengunjung datang ke negeri beradat itu.

Program ini dianjurkan oleh MBS bersama Pejabat DUN Rahang serta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC). - Bernama