Isu air tidak 'gugat' kedudukan Pas Kelantan

Mohd Ariff (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada perwakilan sebagai tanda penghargaan kepada beliau yang telah menerajui Pemuda Pas Kelantan selama satu penggal.
Mohd Ariff (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada perwakilan sebagai tanda penghargaan kepada beliau yang telah menerajui Pemuda Pas Kelantan selama satu penggal.
A
A
A

KOTA BHARU - Isu bekalan air yang menjadi perdebatan hangat dalam kalangan rakyat dilihat tidak akan 'menggugat' kedudukan Pas termasuklah undi daripada anak-anak perantau untuk terus menerajui Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata, kedudukan Kelantan yang selari dengan kepimpinan di Pusat ketika ini mampu membawa perubahan dalam memberikan penambahbaikkan dalam isu air.

"Saya yakin, kerajaan Kelantan akan selesaikan masalah ini dengan sebaik mungkin, cuma nak selesai dalam tempoh dua bulan ini tidak sempatlah.

"Tetapi saya yakin dalam tempoh dua tahun lagi bekalan air Kelantan akan melebihi 80 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Kelantan Kali Ke-62 di sini pada Sabtu.

Pada muktamar kali ini, Mohd Ariff melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas Kelantan yang disandang selama sepenggal.

Menurutnya, usaha menyelesaikan masalah itu sedang giat dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

Katanya, proses menukar 6,000 kilometer (km) batang paip yang ada ketika ini memerlukan tempoh sekurang-kurang dua tahun.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ariff berkata, Pemuda Pas Kelantan akan mengadakan dialog dengan perantau untuk memberikan penerangan berkait isu-isu terkini yang berlaku di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hal ini bagi memastikan perantau mendapat maklumat tepat mengenai perancangan dan dasar-dasar kerajaan negeri.

"Saya optimis sokongan tidak akan lari terhadap Pas Kelantan, jika kita semua bekerja keras.

"Buktikan kerajaan selama 31 tahun memacu Kelantan perlu dipertahan," katanya.