X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Kampung Bidayuh Islam di Sarawak contoh semangat ‘Keluarga Malaysia'

Kampung itu kini mempunyai lebih 150 rumah dan beberapa keluarga bukan Islam turut menetap di perkampungan itu.-Foto Bernama
A
A

PADAWAN - Walaupun terletak di kawasan majoriti penduduk beragama Kristian, namun hubungan penduduk Kampung Darul Islam Belimbing yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kuching itu dengan masyarakat sekitarnya, tetap erat dan harmoni.

Lebih menarik, hubungan kekeluargaan penduduk Islam di perkampungan Bidayuh Islam ini dengan saudara-mara mereka yang beragama Kristian tetap utuh meskipun menganut kepercayaan yang berbeza.

Hussein Banyak, 63, penduduk asal kampung berkenaan dan merupakan bekas ketua kampung berkenaan berkata, amalan saling memahami, menerima dan menghormati perbezaan merupakan ‘ramuan’ penting dalam memastikan hubungan komuniti dan kekeluargaan itu terus kukuh.

“Kami masih mengekalkan amalan tradisi dalam aktiviti harian dan juga pemakanan, cuma yang berbeza sekarang adalah anutan agama,” kata Hussein yang memeluk Islam ketika berumur 15 tahun.

Hussein yang mempunyai adik-beradik dan saudara-mara beragama Kristian berkata, ketika musim perayaan seperti hari raya, mereka menerima kunjungan penduduk dan saudara-mara Kristian manakala ketika sambutan Hari Gawai dan Krismas, penduduk Islam akan berkunjung ke rumah saudara-mara yang beragama Kristian.

Kampung Darul Islam Belimbing merupakan penempatan semula penduduk beragama Islam dari Kampung Kawa Belimbing pada 1968 dan ketika itu sebuah rumah panjang dengan 40 pintu telah dibina untuk menempatkan penduduk beragama Islam itu.

Kampung itu kini mempunyai lebih 150 rumah dan beberapa keluarga bukan Islam turut menetap di perkampungan itu.

Menceritakan pengalamannya sebagai antara penduduk terawal dan ketua kampung itu selama 24 tahun, Hussein berkata, keharmonian hidup penduduk Islam Kampung Darul Islam dengan masyarakat sekitarnya yang berbeza agama adalah contoh terbaik konsep dan semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Durrani Bahrum, 54, berkata, mereka juga tidak perlu risau mengenai makanan ketika berkunjung ke rumah sahabat handai dan saudara-mara yang beragama Kristian ketika perayaan musim Krismas dan Hari Gawai.

Katanya, sahabat handai dan saudara-maranya yang beragama Kristian sememangnya mengetahui dan memahami keperluan saudara Muslim mereka.

“Kami tidak perlu risau kalau hendak pergi berziarah kerana mereka tahu dan faham. Semua aktiviti akan diberhentikan untuk memberi kami peluang bersolat kalau sudah masuk waktu,” katanya yang mempunyai sepupu beragama Kristian.

Sementara itu, Durrani berkata, penduduk di situ juga tidak ketinggalan menikmati kemajuan dan pembangunan dari segi infrastruktur seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya yang telah membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Industri inap desa juga diwujudkan di kampung itu dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk membolehkan pengunjung ke perkampungan berkenaan merasai pengalaman berada di perkampungan Bidayuh terutamanya yang beragama Islam. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!