Misi survival kayak solo OKU 360km

Zainol Fadzi (dua dari kanan) menyerahkan dayung kayak kepada Mohd Syukor sebagai gimik misi Program Survival Kayak Solo OKU 360km selepas sidang akhbar di Wisma Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak, Jelapang, di sini pada Jumaat.
Zainol Fadzi (dua dari kanan) menyerahkan dayung kayak kepada Mohd Syukor sebagai gimik misi Program Survival Kayak Solo OKU 360km selepas sidang akhbar di Wisma Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak, Jelapang, di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kehilangan kaki kanan akibat kemalangan tidak menghalang seorang lelaki kurang upaya (OKU) untuk mencipta Malaysia Book of Records dalam misi Survival Kayak Solo sejauh 360 kilometer (km) pada November depan.

Mohd Syukor Shahuji, 29, berkata, aktiviti kayak bukanlah sesuatu yang asing baginya kerana sudah terlibat selama lapan tahun bersama Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak.

Bagaimanapun katanya, ketika itu keadaan fizikalnya masih sempurna sehingga pada tahun 2017, kemalangan yang dialami menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong sekali gus menjadi seorang OKU.

"Sebenarnya risau itu tetap ada walaupun pernah berkayak sebelum ini kerana memikirkan cuaca, arus sungai, keadaan fizikal dan sebagainya.

"Sebelum ini saya pernah berkayak 200km dari Kuala Kangsar ke Teluk Intan menerusi Sungai Perak dalam masa tiga hari dua malam. Harap misi kali ini berjaya," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Wisma Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak, Jelapang pada Jumaat.

Menurutnya, semangat untuk kembali berkayak dan melakukan aktiviti itu disebabkan sokongan daripada rakan-rakan.

Mohd Syukor berkata, ketika awal kemalangan dulu dia pernah terfikir untuk bersara daripada aktiviti itu, namun melupakan hasrat tersebut selepas melihat sokongan diberikan dan ramai OKU lain yang bangkit.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, penganjuran program yang akan bermula pada 6 hingga 13 November itu mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Mohd Syukor akan mula berkayak dari Jeti Tasik Banding di daerah Hulu Perak dan melalui tujuh stesen utama sepanjang Sungai Perak selama lapan hari sejauh 360km sebelum berakhir di Beting Beras Basah di daerah Bagan Datuk.

"Antara matlamat dan objektif kita menganjurkan program ini adalah untuk menonjolkan semangat seorang anak muda OKU agar ia boleh menjadi pemangkin semangat kesukanan kepada semua masyarakat khususnya golongan belia dan OKU.

"Selain itu juga kita mahu mempromosikan sungai-sungai yang ada di Perak ini untuk dijadikan tempat rekreasi sukan kayak dan sukan rekreasi sungai yang lain," katanya yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak.

Jelasnya, misi tersebut telah dicadangkan untuk dilaksanakan lebih awal namun disebabkan pandemik Covid-19 ia ditangguhkan sehingga November.

Dalam pada itu, beliau berharap program tersebut mencapai matlamat sekali gus membuktikan kepada masyarakat dan belia bahawa kekurangan ini bukan satu kelemahan tapi kelebihan yang boleh dimanfaatkan.