Aktiviti cari kerang-kerangan di Sungai Genting masih dibekukan

Laporan Sinar Harian pada 12 Oktober lalu mengenai larangan memungut, menjual atau memakan spesies kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah dan lala di perairan Sungai Geting, Tumpat kerana dicemari toksin saraf.
Laporan Sinar Harian pada 12 Oktober lalu mengenai larangan memungut, menjual atau memakan spesies kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah dan lala di perairan Sungai Geting, Tumpat kerana dicemari toksin saraf.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan masih 'membekukan' aktiviti mencari hidupan air daripada spesies kerang di kawasan Sungai Geting, Tumpat buat masa ini selepas ia didapati tercemar dengan toksin saraf atau saxitoxin daripada alga berbahaya iaitu alexandrium minutum.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pembekuan itu bagi membolehkan Jabatan Perikanan Kelantan menjalankan siasatan lanjut berhubung tahap pencemaran ke atas kerang-kerangan di kawasan berkenaan.

"Kita sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan itu, sebagai langkah selamat kita masih belum memberikan kebenaran kepada penduduk untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Kelantan di Taman Rekreasi Bukit Gedombak di sini pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Abdul Azziz Kadir dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wandi Yadzid Yaakob.

Tuan Mohd Saripudin (tiga dari kanan) menanam pokok sebagai simbolik perasmian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Kelantan di Taman Rekreasi Bukit Gedombak, Pasir Puteh pada Khamis.
Tuan Mohd Saripudin (tiga dari kanan) menanam pokok sebagai simbolik perasmian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Kelantan di Taman Rekreasi Bukit Gedombak, Pasir Puteh pada Khamis.

Menurutnya, langkah itu bagi mengelakkan orang ramai mendapat kesan sampingan jika termakan atau membeli spesies kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah dan lala dari kawasan Sungai Geting.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu dan pemantauan berterusan sentiasa dilakukan oleh pihak berkenaan bagi memastikan aktiviti mencari spesies kerang-kerangan tidak berjalan.

Jabatan Perikanan Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, orang ramai dilarang memungut, menjual atau memakan spesies kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah dan lala di perairan Sungai Geting, Tumpat kerana dicemari toksin saraf atau saxitoxin daripada alga berbahaya iaitu alexandrium minutum.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Tuan Mohd Saripudin berkata, pihaknya akan giat mempromosikan program kitar semula minyak masak.

Katanya, program itu bertujuan memastikan kelestarian alam dapat dijaga untuk generasi masa hadapan.

"Kita harap masyarakat dapat mengumpul minyak masak terpakai dan tidak membuangnya ke dalam longkang atau sebaliknya.

"Serah kepada pusat pengumpulan untuk sama-sama kita menjaga alam sekitar," katanya.