X

Kindly register in order to view this article
!

MPPN perlu turun padang

A
A

SECARA konvensional kepenggunaan sering tertumpu kepada kualiti dan harga produk dan perkhidmatan. Akan tetapi kepenggunaan jauh lebih luas dan merangkum.

Ia meliputi soal kualiti, gaya dan budaya hidup, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, kelestarian alam sekitar, keperluan asas, kewangan, pelaburan, perundangan, urus tadbir, perdagangan dan teknologi. Bermakna hampir semua bidang kehidupan terkait dengan kepenggunaan.

Soalnya, bagaimana kepelbagaian isu pengguna harus ditangani. Ia bukan sahaja multi sektor akan tetapi juga multi dimensi. Oleh kerana ia serba berkait bermakna pendekatan juga harus menyeluruh.

Namun kepenggunaan menjadi semakin kompleks tatkala keperluan hidup bergerak mengikut kehendak semasa. Menjadi lebih rumit bila masyarakat dunia dikatakan hidup tanpa sempadan. Bererti kepenggunaan menjadi bukan sahaja merangkum semua aspek, akan tetapi juga merentas semua sempadan.

Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merupakan suatu sayap yang diwujudkan untuk menasihati menteri dalam menangani pelbagai isu kepenggunaan. Ia diwujudkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Sementara keutamaan Menteri KPDNHEP kini adalah untuk menangani isu kos sara hidup, namun beliau juga harus mempunyai perspektif yang holistik untuk melihat isu pengguna yang serba berkait. Menteri harus mampu mengemudi KPDNHEP dengan pandangan sarwa jagat (universal).

MPPN sebagai majlis yang menasihati menteri perlu dekat dengan denyut nadi pengguna. Selain memberi pandangan dari segi dasar dan ehwal pengguna dari sudut perlindungan hak, ia harus peka perkembangan terkini dalam perdagangan merentas sempadan, iaitu produk dan perkhidmatan yang menyeberangi sempadan negara. MPPN perlu mengikuti trend pelbagai kerjasama antara negara di peringkat antarabangsa yang berusaha mewujudkan sistem membanteras penipuan dalam perdagangan.

Persoalan kepenggunaan yang berkait dengan produk dan perkhidmatan mempunyai dinamikanya tersendiri. Ia terkesan dengan banyak faktor. Faktor kos bekalan mentah, pemprosesan, pengeluaran dan pengedaran adalah rantaian yang mempengaruhi harga barangan. Manakala perkhidmatan pula ditentukan oleh faktor kualiti, penyampaian dan keberkesanan khidmat. Perkhidmatan yang sangat rencam dalam era dunia tanpa sempadan ini memerlukan perlindungan pengguna yang sangat komprehensif.

Semua peringkat dan jenis perkhidmatan serta pengeluaran barangan perlu diteliti dengan rapi untuk memahami bagaimana hak pengguna boleh dilindungi dengan menyeluruh. Dengan hanya mengawal kos dan menetapkan harga di pasaran, belum memadai untuk menangani kos sara hidup yang masih tinggi.

Sesungguhnya mengawal harga berkait dengan mengawal rantaian kos pengeluaran. Lantaran itu intervensi kerajaan untuk mengawal pasaran perlu merangkumi pasaran bebas yang menggalakkan kawalan kendiri (self regularitory) serta perlindungan kendiri (self protection) tidak berkesan jika pihak berkuasa tidak berperanan mengawal penipuan dan salah laku dalam pasaran.

MPPN perlu mengamalkan pendekatan turun padang untuk mengesan keresahan pengguna, terutama pengguna berpendapatan rendah iaitu B40. Pengguna yang mudah terkesan (vulnerable) bila berlaku perubahan harga barang dan perkhidmatan perlu didengari agar kerumitan yang dihadapi mereka dapat diangkat kepada agensi yang berkaitan.

Kelompok suri rumah dan pengguna muda adalah sasaran yang mudah terdedah kepada penipuan melalui iklan dan perniagaan di sosial media. MPPN harus mengadakan sesi temu berkala dengan pelbagai kelompok pengguna untuk mendengar secara langsung suara pengguna.

Selain melihat polisi dan penguatkuasaan undang-undang, MPPN perlu peka dengan status kesedaran pengguna yang perlu ditingkatkan. Pemerkasaan dan pendidikan pengguna melalui organisasi kepenggunaan perlu dianjak dari hanya isu konvensional iaitu harga dan keselamatan produk pengguna semata-mata.

Akta Perlindungan Pengguna 1999 belum cukup berkesan jika pengguna tidak mempunyai kuasa untuk bersuara, mendapat maklum balas dan tindakan daripada KPDNHEP. Sejumlah akta yang berada di bawah bidang kuasa KPDNHEP juga tidak bermakna jika pengguna tidak diperkasa dengan maklumat dan kesedaran yang mencukupi.

Malah Tribunal Tuntutan Pengguna yang merupakan agensi untuk menangani persoalan tuntutan dan ganti rugi pengguna tidak dapat menyelesaikan pelbagai isu pengguna yang rencam jika tahap kepekaan pengguna tidak dipertingkatkan.

Sudah sampai masanya MPPN berfungsi dengan berkesan bukan sahaja untuk menasihati menteri malah juga warga pengguna agar membangunkan negara ini dengan mengamalkan gaya hidup pengguna mapan dan celik hak.

* Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu