Teroka kerjasama lebih luas

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu lalu. (Gambar kecil: Zulakbal)
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu lalu. (Gambar kecil: Zulakbal)
A
A
A

MALAYSIA digesa meneroka kerjasama lebih luas dengan menjadikan kuasa sukan besar dunia seperti negara Eropah, Afrika selain China dan Jepun sebagai model baharu yang boleh diterapkan kepada atlet negara.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, tindakan segera perlu diambil untuk mengkaji model sukan di negara berkenaan dalam memajukan prestasi atlet negara.

“Saya bersetuju bahawa kita perlu melihat kepada negara yang lebih maju dalam sukan tetapi kita tidak boleh lihat sahaja. Kita kena ambil tindakan dengan seberapa pantas.

“Kalau kita sekadar cakap sahaja, memang tidak akan jadi. Pihak yang berkaitan perlu agresif merangka strategi berjumpa dengan wakil dari negara-negara tersebut untuk mengkaji model sukan yang sesuai dengan budaya kita.

“Dari segi cuaca contohnya, bagaimana Afrika yang negaranya panas seperti Malaysia tetapi dapat pingat emas Sukan Olimpik dalam larian jarak jauh. Itu kita kena kaji,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu lalu.

Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Malaysia tidak boleh lagi menjadikan Singapura sebagai perbandingan, sebaliknya fokus untuk mencabar gergasi Asia Tenggara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Mohamad Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan model sukan di negara ini telah lapuk dan memerlukan perubahan dengan membawa masuk idea baharu.

Pada masa sama, beliau memuji penubuhan Projek Road to Gold (RTG) yang dibentuk dalam misi Malaysia memburu pingat emas sulung pada temasya Sukan Olimpik.

Malah, beliau bersama-sama Jawatankuasa RTG diketuai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sempat ‘berguru’ di Universiti Sains Sukan Nippon di Tokyo, Jepun bulan lalu bagi merealisasikan misi tersebut.

Dalam pada itu, Zulakbal menyifatkan kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023 sudah boleh dijangka lebih awal.

“Kontinjen yang kita hantar kali ini memang tidak menepati sasaran kerana kita berada dalam satu zaman transisi daripada kumpulan atlet lama kepada kumpulan atlet baharu.

“Kita juga harus akui memang ada kebenarannya apabila Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan kebergantungan kepada atlet senior, selain masalah termasuk ketidakstabilan politik menjadi antara penyebab kegagalan itu,” jelasnya.