X

Kindly register in order to view this article
!

Kekalkan hukuman mati

A
A

BARU-BARU ini dilaporkan Menteri Undang-Undang mengumumkan kerajaan berhasrat untuk memansuhkan hukuman mati di Malaysia. Dilaporkan Kabinet telah memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, keputusan itu dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu. Akta tersebut terdiri daripada Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961 dan Akta Angkatan Tentera 1972. Selain itu, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 antara lapan akta tersebut.

Pemansuhan hukuman mati adalah sejajar dengan desakan antarabangsa walaupun sebenarnya hukuman mati tidaklah diharamkan dalam International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) ataupun mana-mana instrumen antarabangsa lain. Namun desakan dipelopori Eropah mahukan hukuman mati dimansuhkan termasuklah melalui European Convention of Human Rights.

Ketika ini pemansuhan hukuman mati dipelopori oleh negara-negara Eropah walaupun Amerika Syarikat masih lagi melaksanakan hukuman mati. Hukuman mati dilaksanakan dengan pelbagai cara termasuklah gantung sampai mati, pancung, suntikan, kerusi elektrik dan ditembak. Malaysia mengambil pendekatan menggantung pesalah yang telah disabitkan dengan hukuman mati setelah semua remedi undang-undang diambil dan pesalah tidak diberikan pengampunan.

Dalam sesetengah kesalahan hukuman mati mandatori dizahirkan oleh undang-undang. Ini bermakna mahkamah apabila mendapati seseorang itu bersalah tidak mempunyai pilihan selain daripada menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan tersebut. Mahkamah tidak diberikan kuasa budi bicara dalam menimbang hukuman yang setimpal kepada pesalah.

Bagi kesalahan dadah pula sesetengah kesalahannya dikategorikan sebagai kesalahan liabiliti tegas ataupun ‘strict liability ofeences’. Berbeza dengan kesalahan-kesalahan lain, kesalahan liabiliti tegas ini tidak memerlukan seseorang itu mempunyai niat untuk melakukan kesalahan atau disebut sebagai ‘mens rea’. Bagi memudahkan pemahaman, saya bawakan contoh dalam kesalahan mengedar dadah yang membawa hukuman mati, jika seorang itu membawa sebuah beg yang berisi dadah, beliau dianggap melakukan kesalahan walaupun beliau tidak tahu apa kandungan di dalam beg tersebut ataupun sekadar memegangnya untuk menjaga daripada pihak ketiga. Hal seperti ini selalu berlaku khususnya di lapangan terbang.

Undang-undang dalam hal ini tidak memerlukan anda tahu di dalam beg tersebut adalah dadah untuk disabitkan hukuman mati kerana dianggap mengedar dadah.

Oleh itu antara lainnya hukuman mati ingin dimansuhkan kerana menghukum orang yang tidak bersalah dan mangsa kepada sindiket dadah seperti ini. Hukuman mati juga mahu dimansuhkan kerana dikatakan tidak efektif kerana walaupun hukuman berat kesalahan berkenaan masih lagi dilakukan, ia tidak berupaya menjadi penghalang kepada masyarakat melakukan kesalahan.

Malah dikatakan bahawa manusia tidak seharusnya mengambil nyawa orang lain walaupun orang tersebut melakukan kesalahan yang berat.

Pada pandangan saya kita hendaklah bukan sahaja melihat hak kepada orang yang kena tuduh dalam memutuskan hukuman kepada pesalah berat ini. Hak mangsa dan keluarga mangsa hendaklah juga diberikan perhatian. Pada ketika ini suatu kesalahan dianggap kesalahan terhadap negara dan negara yang akan menentukan hukumannya. Namun hak mangsa dan keluarga mangsa tidak diambil kira. Sudahlah keluarga mereka dibunuh umpamanya, keluarga yang ditinggalkan terus merana dan tidak mendapat pembelaan. Lebih malang lagi jika yang dibunuh itu adalah pencari nafkah bagi keluarga.

Bagi mengelakkan hukuman dikenakan bagi yang tidak bersalah saya sarankan agar undang-undang dipinda bagi memberikan kuasa budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman. Mahkamah tidak boleh lagi dikongkong secara mandatori menjatuhkan hukuman mati. Biarlah mahkamah melihat keseluruhan kes dan menimbangkan sama ada hukuman mati sesuai dikenakan bagi sesuatu kes itu atau tidak.

Seperkara lagi ialah tentang kesalahan liabiliti tegas seperti yang saya nyatakan di atas, syarat liabiliti tegas tersebut hendaklah dihapuskan kerana ia telah mendatangkan pelbagai kezaliman khususnya terhadap orang yang tidak tahu menahu barang di dalam pegangan mereka itu adalah dadah dan boleh membawa hukuman mati.

Memang acap kali kita baca di dada akhbar mangsa keldai dadah dihukum dengan pelbagai hukuman. Adalah lebih adil pihak pendakwaan dibebankan dengan bukti yang kukuh untuk mensabitkan kesalahan berat seperti ini kerana ia melibatkan nyawa seseorang.

Hujah yang menyatakan hukuman mati gagal menghindar pelaku kesalahan tersebut dan oleh itu perlulah dimansuhkan adalah suatu hujah yang sangat dangkal. Jika kita mahu mengaplikasi pendekatan ini, kita harus melakukannya juga kepada semua jenis kesalahan yang lain.

Umpamanya kesalahan lalu-lintas yang banyak dilakukan orang ramai walaupun denda dikenakan alat peranti canggih digunakan masih tak dapat mengekang orang ramai melakukan kesalahan lalu-lintas. Jika pendekatan tadi diambil kita hendaklah memansuhkan undang-undang kesalahan lalu-lintas kerana ia gagal mengekang perlakuan jenayah tersebut.

Dalam hal yang lain kesalahan mencuri yang berleluasa ketika ini walaupun ada undang-undang menghukum pelakunya juga perlu dimansuhkan kerana gagal mengekang orang daripada mencuri. Pastilah pendekatan sebegini tidak sesuai diambil oleh pihak kerajaan.

Dalam hal mengambil nyawa orang pula saya nyatakan bahawa hukuman tersebut bukanlah dijatuhkan oleh orang ramai tetapi pihak berkuasa mengikut lunas undang-undang. Di Malaysia kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman mati dibicarakan oleh seorang hakim mahkamah tinggi. Jika didapati bersalah hukuman tersebut dijatuhkan dan pesalah diberi hak automatik untuk merayu ke Mahkamah Rayuan yang didengar sekurang-kurangnya tiga orang hakim.

Rayuan masih boleh dikemukakan di Mahkamah Persekutuan yang akan didengar sekurang-kurangnya oleh lima hakim. Proses ini juga mengambil masa yang panjang membolehkan kedua pihak bersedia untuk perbicaraan itu.

Jika masih didapati bersalah pesalah mempunyai hak memohon pengampunan sebelum hukuman dilaksanakan. Berdasarkan kepada di atas saya berpandangan hukuman mati harus dikekalkan tetapi diperbaiki undang-undang lain bagi menjamin keadilan kepada mangsa, keluarga mangsa serta pesalah itu sendiri.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)