'Dakwaan saya MB baharu Perak itu karut'

Zainol Fadzi menunjukkan dakwaan tular mengenai wujud perbincangan mengenai peralihan pentadbiran antara beliau dengan BN.
A
A

IPOH - ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menafikan wujudnya perbincangan bersama pemimpin BN berhubung peralihan kuasa kerajaan untuk menjadikan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Beliau berkata, dakwaan yang dikongsi pelbagai pihak sejak beberapa hari lalu itu sama sekali tidak berasas memandangkan dirinya kini sebahagian daripada PH selepas menyertai Bersatu, tahun lalu.

"Apabila digambarkan akan dilantik sebagai MB, saya kira itu sudah jadi perkara mengarut dan cerita rekaan.

"Terbaharu timbul pula dakwaan kononnya saya sudah mengadap Sultan, semua ini tidak benar seperti ditularkan.

"Pertamanya kerana tiada pemimpin BN yang berjumpa saya untuk memujuk apatah lagi mengajak...langsung tiada," katanya kepada media.

Menurutnya, selaku Penasihat Khas Menteri Besar, pemimpin pelbagai peringkat dan parti termasuk UMNO dan Pas berjumpa dengannya untuk membincangkan isu rakyat di kawasan.

"Saya boleh namakan YB-YB (Yang Berhormat) yang datang, semuanya berkaitan masalah rakyat, ada yang meminta bantuan untuk isu tanah, infra dan berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita pula mengamalkan dasar terbuka, jadi tiada masalah dan tiada sekatan untuk bertemu," katanya.

Mei lalu, PH memperolehi mandat membentuk kerajaan negeri dengan majoriti 31 kerusi setelah mendapat sokongan dua wakil rakyat BN iaitu Zainol Fadzi dan Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Mengulas lanjut, Zainol Fadzi tidak menolak kemungkinan dakwaan itu timbul kesan perubahan iklim politik yang menyaksikan kemenangan BN pada dua PRK lalu hasil kerjasama Pas dan UMNO.

Katanya, beliau bersama Nolee Ashilin mempunyai pendirian sendiri tanpa perlu dipengaruhi pihak lain.

"Tidak timbul isu saya akan berpindah semula dan sebagainya, saya pun berada dalam pentadbiran ini sejak Jun dan lihat pimpinan menteri besar serta barisan Exconya sangat positif walau macam-macam isu dimainkan.

"Kemenangan BN di Parlimen Cameron Highlands dan Dun Semenyih perlu dilihat secara positif dan dijadikan iktibar dalam menambah baik pentadbiran kerajaan," katanya.

Beliau meminta semua pihak menghentikan agenda-agenda politik sedemikian bagi mengelak keresahan kalangan rakyat.

"Ini mungkin gerakan untuk melihat gagasan Pas dan UMNO dan mengaitkan pula dengan saya. Secara peribadi tiada tekanan di pihak saya, tetapi saya mendapat banyak panggilan daripada rakan politik dan bukan politik mengenai perkara ini," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu diberi peluang untuk menjayakan Bajet pertama mereka sebelum dinilai sepenuhnya.

"Jika berkenaan politik kita tunggulah PRU nanti," katanya.