Kenyataan Guan Eng agenda DAP cetus perpecahan, keharmonian: Dominic

Dominic Lau
Dominic Lau
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu merupakan agenda politik DAP untuk mencetuskan perpecahan dan menggugat keharmonian di negara ini.

Presiden Nasional Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, tindakan Guan Eng adalah salah kerana cuba menyemarakkan konflik ekoran daripada kerjasama UMNO-Pas dan mendedahkan sikap sebenar beliau yang berat sebelah dan mempunyai pandangan serong terhadap Melayu dan pemimpin Melayu.

"Kenyataan Guan Eng adalah sebahagian daripada agenda politik DAP bertujuan untuk mencetuskan perpecahan dan menggugat keharmonian. Dia sepatutnya membuang sikap mementingkan diri dan politik yang melampau," katanya menerusi satu kenyataan.

Sebuah portal semalam memetik kenyataan Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’

Dominic berkata, kenyataan menghasut Guan Eng juga boleh menyebabkan salah faham atau konflik antara Islam dan bukan Islam serta boleh menggugat keamanan, kestabilan dalam masyarakat.

"Guan Eng sepatutnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya dan tindakan sebagai pemimpin kerajaan. Dia sepatutnya memohon maaf kepada orang ramai terhadap kenyataan berunsur provokasi," ujarnya.

Artikel Berkaitan: