X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

PH Johor bantu kempen PRN Melaka

Pimpinan PH diketuai Aminolhuda (tengah) pada perbincangan di Pejabat Amanah Johor Bahru di sini pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor akan memberi bantuan sepenuhnya kepada kempen parti berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan dilaksanakan bermula November depan.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu telah diputuskan menerusi perbincangan bersama pimpinan komponen parti Johor pada Isnin, 18 Oktober ini.

Menurut beliau, pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dalam apa jua perancangan yang ditetapkan dalam mencapai sasaran untuk memastikan kemenangan besar calon-calon PH di Melaka.

“Umum mengetahui, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun mengumumkan bahawa tarikh pembuangan undi bagi PRN Melaka akan dibuat pada 20 November 2021.

“Justeru, sebagai negeri yang bersebelahan, PH Johor telah membuat ketetapan untuk memberikan sepenuh tenaga petugas parti bagi membantu kemenangan calon-calon PH di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan, pihaknya telah bersetuju untuk menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, manakala tarikh mengundi awal pula pada 16 November.

Menurut beliau, tempoh berkempen bagi PRN Melaka pula adalah selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.

PRN Melaka diumumkan berikutan kemelut politik di negeri berkenaan apabila menyaksikan empat ADUN Kerajaan mengambil keputusan menarik sokongan ke atas pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pada 4 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, melihat kesan daripada apa yang berlaku di Melaka, pimpinan parti di negeri ini bagaimanapun masih kekal dengan situasi kerajaan kini bahawa tumpuan bagi memastikan rakyat sentiasa didahulukan.

“Mengambil maklum situasi terkini politik negeri Melaka, PH Johor tetap berpandangan bahawa kestabilan politik dalam mentadbir negeri pada saat rakyat berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi sekarang ini tetap menjadi keutamaan berbanding perkara-perkara lain.

“Ketetapan kita masih begitu. Bagaimanapun, di bawah parti sama kita tetap akan membantu Melaka kerana nasi telah menjadi bubur, pertelagahan dalaman UMNO sendiri yang mengakibatkan DUN terbubar pada 4 Oktober lalu,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!