'Anggota polis' lalok, bergaduh ditahan

Suspek ketika disoal oleh orang awam yang curiga dengan identitinya sebagai pegawai polis.
Suspek ketika disoal oleh orang awam yang curiga dengan identitinya sebagai pegawai polis.
A
A
A

KAJANG - Polis menahan seorang lelaki tular menyamar sebagai polis dan mengeluarkan kad kuasa palsu untuk melindungi dirinya selepas suspek terlibat dengan satu pertelingkahan di deretan rumah kedai di Taman TTDI Groove di sini pada Sabtu.

Sebuah klip video berdurasi 50 saat tular di media sosial memaparkan suspek mendakwa dirinya bertugas di Balai Kajang dan mengaku berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pertelingkahan dipercayai berkaitan isu hutang sewa rumah membabitkan suspek sekitar jam 2.29 pagi.

"Kejadian tersebut dapat dileraikan orang awam dan dalam kejadian itu suspek seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengaku dirinya anggota polis serta mengeluarkan kad kuasa polis untuk melindungi diri.

"Oleh kerana curiga pengadu dalam kejadian ini seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun telah menghubungi pihak polis untuk hadir ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati suspek menggunakan kad kuasa palsu dan ditahan oleh anggota polis peronda.

"Hasil siasatan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah berjaya merampas beberapa peralatan polis iaitu sepasang baju operasi polis tertera nama suspek, kasut, tali pinggang, satu unit gari dan kad kuasa polis yang dirampas," katanya

Menurutnya, suspek direman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan membabitkan kes penyamaran sebagai anggota polis melibatkan suspek sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menyamar polis dan memiliki barangan peralatan polis yang tidak sah di sisi undang-undang.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda," katanya.