Kerajaan wajar tambah jumlah Bantuan Khas Covid-19

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan wajar menaikkan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang menyaksikan bayaran maksimum RM1,300 iaitu jauh lebih rendah berbanding pendapatan garis kemiskinan purata negara RM2,208 sebulan, Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, hakikatnya, banyak kes Covid-19 sudah dilaporkan di beberapa Program Perumahan Rakyat (PPR) sejak tahun lepas menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terbabit dan menjejaskan pendapatan penduduk.

Beliau berkata, meskipun Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah penempatan kategori bandar, kesan penutupan ekonomi lebih banyak memberi kesan kepada masyarakat bandar selain golongan miskin bandar yang mendiami PPR dan rumah kos rendah.

"Saya memohon perhatian agar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dapat mempertimbangkan jumlah bantuan ini (BKC) dapat ditambah dalam usaha membantu warga miskin bandar pasca pandemik ini," katanya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara hari ini.

BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi yang memanfaatkan 10 juta penerima terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang berkelayakan.

Mohd Hisamudin turut mencadangkan agar kerajaan memperkenal semula pengecualian sewa PPR selama enam bulan di kawasan bandar bagi membantu golongan terbabit.

Senator Lim Hui Ying pula berharap kerajaan dapat melaksanakan strategi pelbagai cabang dan bukan sekadar bergantung kepada mekanisme harga siling berkaitan dasar menetapkan harga siling bagi perumahan mampu milik dalam pasaran sekunder.

Beliau khuatir harga siling akan menyebabkan pemilik rumah enggan melepaskan hak tanah mereka sehinggalah ia dinaikkan atau dimansuhkan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, bagi memastikan akses kepada perumahan mampu milik, perlu ada strategi pelbagai cabang. Contohnya, mekanisme sewa beli yang masih lagi belum dilaksanakan secara besar-besaran serta skim pembiayaan perkongsian dengan kerajaan menjadi rakan kongsi milikan rumah dan sebagainya," katanya.

Hui Yin berkata, kerajaan juga patut mempertimbang lebih banyak skim rumah sewa bermutu tinggi dengan kadar sewaan rendah sebagai pilihan kepada mereka yang enggan terikat dengan pemilikan hak tanah.

Persidangan Dewan Negara bersambung Rabu ini. - Bernama