X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

KKM cadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin

A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk bersemuka dengan kumpulan antivaksin bagi memberi fakta dan penerangan berhubung vaksin Covid-19 berdasarkan kajian klinikal yang sahih, Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, beliau boleh mengatur perjumpaan itu dengan melibatkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dr Noor Azmi berpendapat kumpulan terbabit perlu diberi penerangan yang sebetulnya berhubung vaksin Covid-19 kerana KKM tidak membuat sebarang keputusan secara semberono, malah berdasarkan kajian dalam dan luar negara.

Beliau berkata, KKM sebelum ini sudah menyatakan bahawa vaksin Covid-19 bukanlah penyembuh tetapi bagi meningkatkan imuniti badan dan kajian juga menunjukkan terdapat kesan penurunan antibodi selepas enam bulan divaksin, lalu memerlukan individu berkenaan diberi dos penggalak.

"Jadi saya nak sarankan kalau ada kumpulan ini (antivaksin), kenapa tidak kita jumpa, kita boleh uruskan, saya boleh berbincang dengan Menteri Kesihatan. Kita bersemuka dan bercakap yang sebenar-benarnya.

"Jangan kita cakap sini sana dan menyebarkan berita palsu, kita bimbang juga. Nanti KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) akan ambil tindakan kerana penyebaran berita palsu pula," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini pada Isnin.

Dr Noor Azmi menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berhubung tindakan kerajaan supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan kumpulan antivaksin yang menggunakan data COVIDNOW bagi mempengaruhi mereka yang belum divaksin. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!