Polis cari penunggang motosikal buat aksi bahaya di lebuh raya

Antara yang dirakam dan dimuat naik di Facebook. - Foto media sosial
Antara yang dirakam dan dimuat naik di Facebook. - Foto media sosial
A
A
A

PORT DICKSON - Polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara merbahaya di Lebuh Raya Seremban- Port Dickson di sini seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial sejak petang Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, aksi semua penunggang motosikal itu dimuat naik ke Facebook.

"Video tersebut memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal seramai tujuh orang yang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan pihak lain.

"Kejadian ini dipercayai berlaku pada Ahad antara jam 2 dan 3 petang di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson. dari Kilometer 14 hingga 16 arah Port Dickson ke Seremban," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihak polis sedang mengesan kesemua penunggang motosikal itu bagi siasatan lanjut serta siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu atau menunggang kenderaan secara melulu dan merbahaya.

"Jika sabit kesalahan, pesalah akan dikenakan tindakan penjara tidak kurang lima tahun dan denda antara RM5,000-15, 000 serta hilang kelayakan lesen memandu melebihi lima tahun.

"Orang awam boleh menyalurkan segala maklumat ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson atau menghubungi talian terus di 06-6472222," katanya.

Pada Ahad, sebuah video berdurasi lebih kurang satu minit tular di media sosial Facebook dengan memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara merbahaya.

Artikel Berkaitan:

Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya melahirkan kebimbangan kerana perbuatan tersebut boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.