X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Taman Kekal Pengeluaran Makanan galak belia teroka sektor pertanian

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUANTAN - Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyokong usaha kerajaan dengan meluluskan kawasan baharu bagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Tanjung Putus di Mukim Kuala Kuantan seluas 90 hektar.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid berkata, langkah itu dilihat dapat memberi peluang kepada golongan belia di Pahang untuk terlibat dalam sektor pertanian.

Menurutnya, golongan berkenaan perlu memanfaatkan kesempatan tersebut untuk bersama-sama menggerakkan TKPM yang bakal dibangunkan dengan menyifatkan pertanian sebagai sektor yang mampu menjana keuntungan sekiranya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Ketika ini, ramai golongan belia yang mengganggur dan hilang punca pendapatan, jadi pelaksanaan program TKPM ini dapat memberi kelegaan.

"Malah, ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi belia setelah ramai terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara,” katanya pada Ahad.

Pada Rabu lalu, Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan, tanah di Tanjung Putus yang diluluskan bagi TKPM itu melibatkan 28 lot milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri untuk ditanam dengan sayur-sayuran dan tanaman kontan.

Katanya, peserta terpilih akan diberi tanah seluas 0.4 hektar dan dibuka kepada golongan yang berumur antara 18 hingga 40 tahun lepasan sijil, diploma atau ijazah dalam bidang pertanian serta yang bersesuaian.

Peluang turut diberikan kepada kalangan rakyat di bawah kategori B40 lingkungan umur antara 23 dan 50 tahun.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Izzat Afifi berkata, pihaknya bersedia untuk bersama-sama terlibat dalam usaha ini.

Jelasnya, ia seiring dengan inisiatif sedia ada yang sedang diusahakan oleh MBNP melalui Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani MBNP.

"Usaha yang dilakukan kerajaan Pahang juga selaras dengan titah Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu golongan belia turut dilibatkan dalam sektor pertanian dan menjadikan pertanian sebagai pilihan kerjaya serta perniagaan," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!