UMNO cari kaedah terbaik hadapi PRN Melaka: Mahdzir

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

KUALA NERANG - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada Khamis belum membuat keputusan sama ada bergerak secara solo ataupun bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti tersebut masih mempunyai masa untuk mencari kaedah terbaik berikutan PRN Melaka tidak diadakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, MKT UMNO akan membuat keputusan sama ada bergerak solo di bawah panji Barisan Nasional (BN) atau bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi PRN tersebut melalui satu mesyuarat yang akan ditetapkan selepas ini.

"Setakat hari ini belum buat keputusan, MKT UMNO yang bermesyuarat tiga hari lepas tak buat keputusan bagaimana nak pergi (hadapi) PRN Melaka sekiranya diadakan dalam masa satu atau dua bulan dari sekarang.

"Jadi kita ada masa lagi, BN dan UMNO masih ada masa untuk cari kaedah terbaik di Melaka. Jadi saya tak fikir kata UMNO dah dah ada satu keputusan nak pergi secara solo," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Negeri Kedah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Mohd Salim Mohd Sharif serta Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan parti tersebut yang sebelum ini difahamkan akan bergerak secara solo bagi menghadapi PRN Melaka.

Mahdzir berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mempunyai kenyataan tersendiri, namun beliau memulangkan semula keputusan tersebut kepada MKT UMNO untuk memutuskan keputusan akhir.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan pada mesyuarat itu adalah kita tak buat sebarang keputusan untuk menentukan sama ada pergi solo atau secara muafakat "Sampai masanya kita akan mesyuarat balik, sebab itu dalam kenyataan media Majlis Tertinggi (tiga hari lalu) belum ada perkataan berkaitan macam mana nak hadapi PRN Melaka," ujarnya.

Pada 13 Oktober lalu, Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.

Perkara itu dimaklumkannya dalam sebuah program bual bicara bertajuk 'Jawab, Saya Tanya' bertajuk 'PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?' pada Selasa malam.

Menurutnya, antara punca tiada kerjasama dengan Pas ialah Muafakat Nasional (MN) itu sendiri tidak pernah didaftarkan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyebut tentang pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO sewaktu mengulas berkaitan MN namun beliau tidak memperincikan maksud kenyataan tersebut.