Kerajaan Perpaduan guna logo dacing hadapi PRN belum dimuktamadkan

Ahmad Zahid - Foto Bernama.
Ahmad Zahid - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Hasrat parti di dalam kesepakatan Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan logo dacing sebagai strategi pada pilihan raya negeri (PRN) belum dimuktamadkan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya ada menerima hasrat itu daripada parti lain.

"Hasrat itu ada, tetapi belum dimuktamadkan," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) kali pertama di sini pada Khamis.

Menurutnya, calon- calon yang dipertaruhkan daripada BN kekal menggunakan logo dacing.

"Keputusan mesyuarat adalah bahawa calon BN akan guna lambang BN dan kita tidak menolak jika ada parti lain di dalam kesepakatan ini berhasrat untuk turut menggunakan logo BN," ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hasrat parti bersekutu dalam kerajaan yang berhasrat menggunakan logo dacing di negeri-negeri tertentu.

Sebelum ini media melaporkan, enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, BN sedang mempertimbangkan hasrat parti bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan logo dacing pada PRN yang akan datang.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan parti berkenaan atau negeri yang terlibat.