PN Perlis sedia bantu Kedah hadapi PRN

Mohd Shukri Ramli - Foto Bernama
Mohd Shukri Ramli - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) Perlis bersedia membantu rakan politik mereka di Kedah yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama nanti.

Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya akan membantu jentera Kedah sekali gus berharap PN Kedah memenangi kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.

Beliau yang juga Menteri Besar Perlis berkata, Perlis telah diberi DUN di Kedah yang perlu dijaga ketika PRN nanti.

"Insya-ALLAH, kami akan bertugas dengan sehabis baik yang boleh. Bagi kawasan Arau, kami akan jaga DUN Jitra. Bagi kawasan Kangar, kami akan jaga Bukit Selambau.

"Bagi Parlimen Padang Besar, kami akan jaga Ayer Hitam dan DUN Sanglang, DUN saya sendiri akan jaga Ayer Hangat, Langkawi," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Shukri berkata, pihaknya akan memastikan Kedah dan semua negeri yang menghadapi PRN nanti akan menang dan PN mentadbir negeri-negeri itu.

Dalam perkembangan sama, Shukri berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana memberi peluang kepada PN untuk menerajui Perlis.

"Kami banyak belajar daripada Kedah, Terengganu dan juga Kelantan. Tolong doakan kami supaya kekal mencapai (kemenangan) dengan di Perlis sampai bila-bila," katanya.