Rosmah dibenar ke Singapura lawat anak bersalin

ROSMAH MANSOR
ROSMAH MANSOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor dibenarkan untuk mendapatkan semula pasport daripada Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Ia selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah, 70, selaku pemohon untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu dikembalikan sementara bagi membolehkan isteri bekas Perdana Menteri itu ke Singapura.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, pasport permohon perlu diserah 15 Oktober (hari ini) dan mesti dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember.

“Ia dengan syarat pemohon hanya boleh ke Singapura bermula 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November.

“Bagaimanapun, pemohon perlu menghadiri prosiding perbicaraan bela diri yang akan bersambung pada 21 Oktober ini, sebelum bertolak ke Singapura," katanya.

Untuk rekod, pasport Rosmah berada dalam simpanan mahkamah sejak 2018, selaras dengan syarat ikat jamin yang dikenakan pada hari pendakwaan kes rasuah berkaitan projek tenaga solar di Sarawak.

Semasa prosiding, peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh berkata, anak perempuan pemohon, Nooryana Najwa sarat mengandung dan bakal melahirkan anak kedua, kira-kira dua minggu di Singapura.

“Saya memohon pasport anak guam saya dilepaskan sementara dan ia dipulangkan kembali kepada mahkamah pada 24 November depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah permohonan tersebut selagi mana ia tidak mengganggu tarikh perbicaraan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, perbicaraan di hadapan Mohamed Zaini bersambung 21 Oktober ini dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.

Pada 5 Oktober lalu, Rosmah memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding perbicaraan peringkat bela diri kes rasuah membabitkan solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Menerusi notis usul permohonan untuk pelepasan pasport pada 12 Oktober lalu, isteri Datuk Seri Najib Razak itu merancang perjalanan dari hujung bulan ini sehingga minggu pertama Disember.

Ia bagi membolehkan beliau berada di samping anak perempuannya, Nooryana dan menantu, rakyat Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev yang kini menetap di Singapura.

Sebelum ini, Nooryana mempunyai sejarah komplikasi risiko tinggi sewaktu bersalin yang boleh menjejaskan kesihatan, nyawa serta kandungannya.

Rosmah berharap dapat berada di sisi anaknya sepanjang tempoh sebelum, sewaktu dan selepas bersalin.

Keberadaannya di Singapura kelak, akan memberi bantuan fizikal, sokongan emosi dan penjagaan terutamanya dalam tempoh berpantang.

Selain itu, beliau turut mengharapkan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) agar beliau dapat meneruskan perjalanan tersebut tanpa sebarang halangan.