Bangkit daripada perkahwinan ‘toksik’

Setiap pasangan inginkan kebahagiaan, perceraian adalah langkah terakhir.
Setiap pasangan inginkan kebahagiaan, perceraian adalah langkah terakhir.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Enam tahun tanpa nafkah dan sering dipersalahkan, akhirnya Aiza (bukan nama sebenar) mengambil keputusan untuk memfailkan perceraian supaya dapat keluar daripada perkahwinan ‘toksik’ itu.

Tiada rasa sesal tatkala lafaz cerai dikeluarkan, sebaliknya ia menjadi hari baharu buat Aiza yang kini bangkit menjadi wanita berjaya dalam kerjayanya.

Itu adalah antara coretan kisah bagaimana wanita yang dianggap ‘lemah’ kembali mencari kebahagiaan diri setelah berdepan dengan kegagalan rumah tangga.

Ketua Jabatan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal Universiti UCSI, Penolong Profesor Dr Zhooriyati Sehu Mohamad berkata, perceraian tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang negatif, kerana ia mungkin langkah terakhir dalam menyelesaikan masalah pasangan.

Namun jelasnya, sebelum mengambil keputusan bercerai, pasangan wajar mengambil langkah-langkah untuk menyelamatkan perkahwinan.

“Dalam agama sendiri, ada ditekankan cara bagaimana, contohnya mengasingkan tempat tidur.

“Tapi jika ia masih belum dapat atasi masalah, mereka boleh berjumpa dengan pihak ketiga iaitu kaunselor atau pakar psikologi dan tunggu untuk suatu tempoh, mungkin sehingga enam bulan.

“Namun, jika masalah itu tidak dapat diselesaikan juga, barulah putuskan sama ada untuk teruskan perkahwinan itu atau sebaliknya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jika perceraian menjadi pilihan, kedua-dua pihak bolehlah meletakkan titik noktah kepada masalah mereka dan kembali refleksi diri untuk meneruskan kehidupan.

Zhooriyati
Zhooriyati

Jelasnya, untuk bangkit selepas bercerai mungkin mengambil masa khususnya bagi wanita, tetapi mereka perlu belajar menjadi optimis dan sentiasa berfikiran positif.

“Memang sangat susah untuk seorang wanita berfikiran positif, terutama bagi wanita yang diceraikan tanpa alasan yang kukuh tapi dia kena cuba untuk bersifat positif.

“Macam mana kita nak wujudkan tenaga positif ini adalah dengan duduk dalam kalangan mereka yang positif.

“Untuk menjadi seorang yang positif juga, perlu banyakkan membaca sesuatu yang positif dan menenangkan seperti membaca al-Quran dan ayat-ayat serta buku motivasi.

“Kita kena selalu ingat bahawa kebahagiaan kita adalah di tangan kita sendiri dan tidak boleh bergantung pada orang lain,” ujarnya.

Selain itu, individu yang bercerai perlu melihatnya dari sudut positif dan mungkin melihat ia masa yang sesuai untuk mencapai kembali impian yang sebelum ini belum terlaksana.

Paling penting jelasnya, adalah mencari makna hidup selepas melalui fasa-fasa memeritkan semasa alam perkahwinan.

“Kita kena cuba cari apa maksud hidup kita sebenarnya. Mungkin sebelum ini wanita itu terlalu bergantung kepada suami, jadi ini masa yang terbaik untuk dia mencari apa yang dia hendak dalam hidup.

“Dalam mencari makna hidup, sudah tentu kita akan menghadapi pelbagai rintangan. Tapi apabila kita berjaya mencarinya, kita akan menjadi orang yang paling bahagia,” jelasnya.