Tiket ke pantai timur laris macam raya

Kelihatan orang ramai membeli tiket bas di stesen bas Terminal 1, Seremban pada Khamis. Gambar kecil: Muhd Iqhwan
Kelihatan orang ramai membeli tiket bas di stesen bas Terminal 1, Seremban pada Khamis. Gambar kecil: Muhd Iqhwan
A
A
A

SEREMBAN - Tiket bas ekspres bagi perjalanan ke negeri pantai timur terutama Kelantan dan Terengganu paling banyak terjual di stesen bas Terminal 1 di sini selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan pada Isnin lalu.

Operator tiket bas ekspres, Muhd Iqhwan Abdul Razak, 24, berkata, keadaan di Terminal 1 kini juga tidak ubah seperti suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Jika sebelum ini Terminal 1 ini diibaratkan seperti 'rumah banglo' tinggal, kini ia kembali meriah dengan orang ramai.

"Sejak hari pertama rentas negeri dibenarkan, berlaku peningkatan tempahan tiket bas yang mendadak terutama bagi perjalanan ke negeri pantai timur. Suasana begini biasa berlaku pada hari raya saja," katanya ketika ditemui di Terminal 1 di sini pada Khamis.

Muhd Iqhwan berkata, tiket bagi perjalanan ke negeri di utara dan selatan juga meningkat, namun jumlah penumpang tidak seramai ke pantai timur.

Katanya, pengusaha bas kini boleh menarik nafas lega apabila rentas negeri dibenarkan kerana hampir setahun terpaksa menanggung kerugian.

"Sebelum ini, tiket bas yang mampu terjual di kaunter ini, hanya lima ke 10 keping saja dalam sehari.

"Waktu itu hanya tiga syarikat bas yang beroperasi. Kawasan Terminal 1 ini sunyi seperti kawasan tinggal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, beberapa ejen jualan tiket tidak mampu melunaskan bayaran bulanan sewaan kaunter kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tertunggak sehingga mencecah enam bulan dan lebih disebabkan tiada sambutan sebelum ini.

"Saya sendiri sudah menerima surat amaran daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) supaya menjelaskan tunggakan bayaran sewaan kaunter. Alhamdulillah, dengan kebenaran rentas negeri ini, kami lega kerana boleh bernafas semua.