Pen Mutiara sangkal dakwaan nelayan sokong PSR

Mahadi (tengah) bersama ketua unit nelayan menunjukkan Perlembagaan Pen Mutiara pada sidang akhbar di Restoran Pen Mutiara pada Rabu.
Mahadi (tengah) bersama ketua unit nelayan menunjukkan Perlembagaan Pen Mutiara pada sidang akhbar di Restoran Pen Mutiara pada Rabu.
A
A
A

BATU MAUNG - Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) menyangkal dakwaan kononnya nelayan di negeri ini terutamanya di selatan Pulau Pinang menyokong Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) seperti sebelum ini.

Pengerusinya, Mahadi Md Rodzi berkata, kesemua 6,000 ahli persatuan masih dengan pendirian mereka iaitu membantah projek pembinaan tiga buah pulau tersebut.

Menurutnya, sehingga kini, tiada sebarang usul dibuat di dalam mesyuarat rasmi persatuan itu yang menyatakan sokongan terhadap PSR.

"Pen Mutiara tidak pernah menarik semula bantahan kami (dalam mesyuarat) terhadap PSR, malah pendirian kami masih tetap sama sejak 2016 lalu. Semua wakil unit nelayan juga tidak pernah menarik semula bantahan terhadap PSR.

"Oleh demikian, tidak timbul sebarang isu yang menyatakan bahawa masyarakat nelayan menyokong pembinaan projek ini," katanya pada sidang akhbar di Restoran Pen Mutiara di sini pada Rabu.

Tegasnya lagi, sokongan yang dibuat oleh 435 nelayan itu tidak mewakili nelayan sebenar yang berdaftar dengan Pen Mutiara.

"Memorandum sokongan PSR yang diserahkan kepada kerajaan Pulau Pinang bukan mewakili pendirian sebenar Pen Mutiara. 14 unit nelayan di kawasan selatan yang terlibat secara langsung dalam projek itu yang dilantik secara sah mengikut perlembagaan juga kekal membantah projek berkenaan.

"Oleh itu tidak timbul sebarang isu yang menyatakan masyarakat nelayan menyokong projek tambakan laut itu kerana mereka yang diwakili oleh pihak persatuan masih teguh dalam menolak projek tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya ada sebarang usul untuk menyokong projek PSR itu, maka perkara itu perlu dibuat menerusi mesyuarat agung rasmi.

"Segala usul yang datang daripada luar mesyuarat adalah tidak sah kerana membelakangkan masyarakat nelayan," katanya.

Mengulas mengenai nelayan yang turut menyerahkan nama dan tandatangan itu, Mahadi berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada mereka merupakan nelayan yang berdaftar dengan mana-mana unit atau kawasan nelayan di negeri ini.

Beliau berkata, penyerahan senarai nama dan tandatangan kepada kerajaan negeri itu juga hanya diwakili oleh seorang nelayan yang telah diberikan surat tunjuk sebab atas tindakannya yang disifatkan membelakangkan persatuan nelayan.

Pada 7 Oktober lalu, 1,521 penduduk di kawasan selatan Pulau Pinang menyatakan sokongan mereka terhadap PSR kepada kerajaan Pulau Pinang.

Sokongan itu dizahirkan melalui serahan nama dan tandatangan oleh kesemua penduduk di kawasan tersebut kepada Kon Yeow.

Serahan itu dibuat di Pejabat Ketua Menteri di Komtar yang turut dihadiri Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari oleh wakil Unit Nelayan Permatang Tepi Laut, Fajinah Jaafar dan wakil badan bukan kerajaan, Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang (Lestari).

Menerusi kenyataan Lestari, daripada 1,521 senarai nama dan tandatangan penduduk itu, 435 adalah terdiri daripada nelayan.

Menurutnya, kempen mengumpul tandatangan sokongan tersebut dimulakan oleh Fajinah pada bulan lalu selepas beliau mendapat tahu kelulusan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR terbatal dan menjejaskan pelaksanaan projek.

ARTIKEL BERKAITAN: 1,521 termasuk nelayan sokong PSR diteruskan