X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

1,521 termasuk nelayan sokong PSR diteruskan

Fajinah (kiri) bersama wakil Lestari menyerahkan senarai nama dan tandatangan yang menyokong PSR kepada Kon Yeow di Pejabat Ketua Menteri di Georgetown pada Khamis.
A
A

GEORGETOWN - Seramai 1,521 penduduk di kawasan selatan Pulau Pinang menyatakan sokongan terhadap Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Sokongan itu dizahirkan melalui serahan nama dan tandatangan oleh kesemua penduduk di kawasan tersebut kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Khamis.

Serahan itu dibuat di Pejabat Ketua Menteri di Komtar oleh wakil Unit Nelayan Permatang Tepi Laut, Fajinah Jaafar dan wakil badan bukan kerajaan, Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang (Lestari).

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari.

Menerusi kenyataan Lestari, daripada 1,521 senarai nama dan tandatangan penduduk itu, 435 adalah terdiri daripada nelayan.

Menurutnya, kempen mengumpul tandatangan sokongan tersebut dimulakan oleh Fajinah pada bulan lalu selepas beliau mendapat tahu kelulusan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR terbatal dan menjejaskan pelaksanaan projek.

"Pembatalan kelulusan tersebut bermakna manfaat-manfaat untuk nelayan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) tidak dapat disampaikan kepada nelayan dalam masa terdekat.

"Kecewa dengan perkembangan tersebut, Fajinah mula mengumpul tandatangan sokongan dengan bantuan ahli keluarga, rakan-rakan dan Lestari untuk membuktikan bahawa ramai penduduk setempat di kawasan berhampiran PSR sebenarnya mengalu-alukan pelaksanaan projek tersebut.

"Ini kerana mereka tahu PSR akan menjana ekonomi dan mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan," katanya pada Khamis.

Bulan lalu, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Kata Lestari lagi, sokongan 1,521 orang itu dibuat secara ikhlas dan rela hati.

"Mereka tidak dipaksa atau dijanjikan apa-apa ganjaran malah mereka memahami bahawa pelaksanaan projek sebesar PSR ini akan mendatangkan banyak kebaikan dari segi penjanaan ekonomi, terutamanya dalam keadaan kegawatan ekonomi akibat penularan Covid-19.

"Aktiviti penambakan dan pembinaan akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pengusaha kecil di kawasan berhampiran tapak projek, contohnya orang kampung yang mengusahakan warung makanan berpeluang membekalkan makanan kepada pekerja di tapak," katanya.

Selain itu, kata Lestari, mereka yang memiliki bot boleh memberi perkhidmatan pengangkutan semasa fasa penambakan sebagai jurumudi.

"Difahamkan skim SIMP juga akan menawarkan kursus jurumudi. Nelayan juga boleh mencari pendapatan tambahan dengan memberi perkhidmatan rondaan di laut untuk menjaga keselamatan di kawasan penambakan.

"Penduduk tempatan lain seperti anak muda yang berminat mencari pengalaman dalam bidang pembinaan, juga berpeluang mendapat pekerjaan sebagai anak kapal, pengawal keselamatan, pekerja pembinaan, juruteknik, penyelia tapak, pegawai informasi, kerani dan lain-lain," katanya.

Jelasnya, ramai dalam kalangan nelayan menantikan pemberian bot dan enjin berkuasa tinggi yang akan membolehkan mereka pergi lebih jauh di laut untuk menangkap ikan.

"Selain bot, mereka juga menunggu bantuan kewangan dalam bentuk ex-gratia yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri untuk memulakan perniagaan atau mencari pekerjaan yang boleh membawa kebaikan kepada keluarga mereka.

"Bagi jangka masa panjang, PSR akan membangunkan tanah perindustrian baharu untuk Green Tech Park yang akan menarik pelaburan industri berteknologi tinggi, dan mendirikan sebuah bandar raya pintar yang akan menyumbangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit serta mewujudkan ribuan pekerjaan," katanya.

Tambahnya lagi, pembangunan PSR juga akan mengambil pendekatan hijau untuk menjamin kelestarian dan menangani perubahan iklim.

"Langkah kawalan alam sekitar akan dilaksanakan untuk meminimakan kesan alam sekitar. Pelbagai strategi untuk mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 50 peratus menjelang 2030 selain mengurangkan permintaan air mentah serta sisa di tapak pelupusan juga akan diperkenalkan.

"Sekiranya semua kebaikan PSR ini ditolak oleh penduduk tempatan, sudah tentu kami tidak mendapat 1,521 tandatangan sokongan. Kami berharap kempen tandatangan ini membuka mata mereka yang beranggapan semua nelayan dan penduduk tempatan membantah PSR.

"Mereka telah diberi gambaran yang tidak tepat selama ini. Kami merayu kerajaan negeri supaya meneruskan projek PSR ini demi kemakmuran negeri terutamanya komuniti kawasan selatan Pulau Pinang," katanya.

Ends.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!