Sumbang komputer riba kepada 20 pelajar B40

Nor Fadilah menerima komputer riba dan mesin pencetak daripada Md Sohaimi pada program itu.
Nor Fadilah menerima komputer riba dan mesin pencetak daripada Md Sohaimi pada program itu.
A
A
A

KUANTAN- Seramai 20 penuntut daripada keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menarik nafas lega apabila mereka menerima komputer riba dan mesin pencetak pada Rabu.

Salah seorang penerima, Rosyahizatul Asyikin Roziman, 19, yang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia mengakui gembira dengan sumbangan tersebut.

Katanya, sumbangan itu sekurang-kurang dapat meringankan beban bapanya yang sudah lama tidak bekerja susulan pandemik Covid-19.

"Ayah sudah banyak keluarkan duit untuk membayar yuran pengajian sebelum ini dan kami belum berkemampuan untuk membeli komputer.

"Alhamdulillah, hari ini, saya bersyukur sangat kerana dapat komputer riba dan mesin pencetak percuma," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya program penyampaian komputer riba dan mesin pencetak kawasan Parlimen Paya Besar di Kampung Tanjung Pasir, pada Rabu.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Seorang lagi penerima, Nor Fadilah Mohamad, 18, yang melanjutkan pelajaran di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) turut menzahirkan kesyukuran.

Dia memberitahu, sumbangan itu menjadi pendorong kepadanya untuk berjaya dalam pelajaran.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak sangka permohonan mendapat komputer riba dan mesin pencetak diluluskan tanpa perlu mengambil masa yang panjang.

“Bantuan yang diterima ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Md Sohaimi berkata, bantuan tersebut sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap mereka yang berjaya menyambung pengajian hingga ke menara gading.

"Bantuan berkenaan turut diberikan kepada beberapa pelajar orang asli Kampung Sungai Mas yang menyambung pengajian mereka ke Universiti Tenaga Nasional (Uniten),” katanya.