'Guna kit kendiri sebelum masuk Kelantan'

Ahmad berucap ketika merasmikan Stesen Mekawey di Tunjong, Kota Bharu pada Selasa.
Ahmad berucap ketika merasmikan Stesen Mekawey di Tunjong, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kerajaan negeri Kelantan menasihatkan pelancong dan perantau menggunakan ujian kit kendiri Covid-19 sebelum memasuki negeri ini bagi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun setiap perantau dan pelancong memerlukan dua dos vaksin Covid-19 untuk bergerak, namun orang ramai tidak boleh leka sebaliknya perlu menjaga diri masing-masing.

"Jangan lupa, rentas negeri kena ada dua dos. Cuma saya sarankan supaya guna kit kendiri walaupun tidak wajib supaya tidak bergejala semasa berjumpa ibu bapa dan keluarga.

"Kita hidup dalam keadaan endemik ini memang macam inilah. Kena jaga diri masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Mekawey di Tunjong, di sini pada Selasa.

Turut hadir ialah Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Ketika ditanya mengenai jumlah vaksinasi Covid-19 di negeri ini, Ahmad berkata, sehingga kini Kelantan telah mencapai 74 peratus penerimaan vaksinasi dewasa berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Daripada jumlah berkenaan, katanya, Kelantan bakal mencapai imuniti kelompok pada pertengahan Oktober ini mengikut jumlah semasa rakyat Kelantan yang berada dalam negeri.

Mengenai aktiviti dine-in di restoran melibatkan remaja 17 tahun dan ke bawah, Ahmad berkata, kerajaan negeri menetapkan kumpulan berkenaan perlu bersama keluarga untuk makan di kedai.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mesti bersama orang dewasa untuk dine-in. Boleh keluar makan, tapi dengan keluarga, bukan seorang diri," katanya.