30,000 dijangka masuk PD minggu ini

Kawasan pantai dijangka terus menjadi tumpuan orang ramai. Gambar hiasan
Kawasan pantai dijangka terus menjadi tumpuan orang ramai. Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Polis Port Dickson menjangka seramai 30,000 orang akan memasuki daerah itu minggu ini susulan kebenaran rentas negeri bermula Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pemantauan 24 jam akan dilakukan terutama di kawasan pantai bagi memastikan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, antara pantai tumpuan ialah Pantai Batu 4, Pantai Batu 1 dan Dataran Teluk Kemang.

"Hanya pengunjung yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan berada di Pantai Port Dickson," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, unit polis pelancong akan melakukan pemeriksaan secara rawak di aplikasi MySejahtera orang ramai yang berada di kawasan pantai.

"Sebanyak 21 pasukan pemantauan SOP akan ditugaskan di kawasan pantai bersama penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain memeriksa MySejahtera, kita turut memberi penekanan terhadap penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial," katanya.

Selain itu katanya, orang ramai juga dinasihatkan tidak meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pemantauan kelancaran aliran trafik dan aktiviti penguatkuasaan di semua tempat akan terus dilaksanakan.

"Polis terus melaksanakan tugas memantau bagi kelancaran aliran trafik dan tindakan penguatkuasaan juga akan terus dilaksanakan untuk kepentingan dan keselamatan awam," katanya.