'Saya janji esok pasang nombor plat'

Nazli (kanan) memberikan adokasi berkenaan kesalahan undang-undang trafik kepada penunggang p-hailing di Lebuhraya Persekutuan pada Selasa.
Nazli (kanan) memberikan adokasi berkenaan kesalahan undang-undang trafik kepada penunggang p-hailing di Lebuhraya Persekutuan pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - "Ini motor pinjam. Saya janji esok saya pasang nombor plat."

Itu antara alasan seorang remaja ketika ditahan dalam Ops Merah di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan di sini pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi operasi berhampiran kawasan Sungai Way itu mendapati, antara alasan diberikan penunggang motosikal yang tidak mempunyai nombor plat adalah kerana sibuk bekerja, baru tukar 'coverset' motosikal dan baru lepas terjatuh dari motosikal.

Selain tidak memasang nombor plat, ramai juga penunggang yang gagal memperbaharui perlindungan insurans motosikal masing-masing dengan alasan yang paling kerap diberikan ialah terlupa dan jarang menggunakan motosikal tersebut.

Malah, ada yang memberi alasan membawa motor pinjam.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, Ops Merah dijalankan selama sebulan bermula Jumaat hingga 7 November dengan memberi penekanan kepada penguatkuasaan undang-undang dan advokasi kepada penunggang p-hailing yang sering melakukan kesalahan trafik.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 950 buah motosikal diperiksa dalam operasi di Lebuhraya Persekutuan, berdekatan Sungai Way pada Selasa.
Sebanyak 950 buah motosikal diperiksa dalam operasi di Lebuhraya Persekutuan, berdekatan Sungai Way pada Selasa.

"Operasi ini dibuat selepas JPJ menerima terlalu banyak aduan daripada orang awam terhadap penunggang p-hailing yang suka melanggar lampu isyarat merah, gagal mematuhi isyarat jalan sehala atau memandu lawan arus, dan kesalahan berkaitan teknikal kenderaan.

"Sejak 8 Oktober (Jumaat) kita telah mengeluarkan sebanyak 267 notis terhadap penunggang p-hailing atas kesalahan tidak patuh lampu isyarat sebanyak 77 kes, tidak patuh jalan sehala (dua kes), tiada lesen (16 kes), tiada insurans (14 kes) dan lain-lain kesalahan," katanya ketika ditemui di lokasi operasi tersebut pada Selasa.

Nazli berkata, pada Selasa, sebanyak 950 buah motosikal diperiksa, manakala 247 daripada jumlah tersebut dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Pada masa sama, pihaknya turut mengesan segelintir penunggang p-hailing yang menjalankan perkhidmatan penghantaran tanpa lesen memandu yang sah.

"Masih ramai penunggang p-hailing yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Perkara ini menjadi satu tanda tanya kepada kami bagaimana syarikat penyedia platform p-hailing boleh membenarkan individu tanpa lesen untuk membuat penghantaran," katanya.

Beliau sehubungan itu berkata, pihak JPJ akan menghantar surat meminta tunjuk sebab kepada syarikat penyedia platform p-hailing terbabit dan memberi jaminan siasatan lanjut akan dijalankan.