Suspek pecah skrin mesin ATM dicekup

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga emas dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa cawangan bank di sekitar Jinjang di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, suspek warga tempatan berusia 65 tahun itu ditahan jam 3.21 petang pada Rabu dan polis merampas sebuah motosikal, sebuah topi keledar, pakaian dan seketul batu yang digunakan dalam jenayah berkenaan.
"Siasatan awal mendapati suspek memecahkan skrin mesin berkenaan menggunakan objek batu kerana tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes khianat pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan sebelum ini.
Basri berkata, siasatan lanjut diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disyaki terlibat dalam siri kes khianat memecahkan beberapa mesin ATM di sekitar Jinjang dengan anggaran kerugian RM64,000. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis menahan seorang lelaki warga emas kerana memecahkan skrin mesin ATM di Jinjang
- Suspek berusia 65 tahun dan polis merampas motosikal, topi keledar, pakaian dan batu
- Motif kejadian adalah kegagalan mengeluarkan wang daripada mesin ATM
- Penahanan suspek berjaya menyelesaikan lima kes pecah skrin mesin ATM
- Kes tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
