Empat etnik Rohingya terlepas hukuman mati

Tiga etnik Rohingya ini dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan kerana membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
Tiga etnik Rohingya ini dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan kerana membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat etnik Rohingya termasuk sepasang suami isteri terlepas daripada hukuman mati apabila pertuduhan membunuh terhadap mereka dipinda kepada menyebabkan kematian tanpa niat di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Dengan itu, tiga daripada mereka, Muhammad Junaid Nur Salam, Mohd Rofiq Mohd Karim dan Mohd Solim Abdul Razak mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama yang masih bebas telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap rakan senegara, Abdul Khalid Abdul Hadir, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya, di Jalan Pak Madah, Bukit Payung, Marang, kira-kira jam 11.20 malam, pada 18 Mac 2017.

Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman dan Ahmad Fadhli Mahmud di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed manakala mereka diwakili peguam bela daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co, Masliela Ismail.

Sejurus pengakuan salah ketiga-tiga mereka direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara bagi tertuduh, Muhammad Junaid, 11 tahun penjara bagi tertuduh, Mohd Rofiq dan 15 tahun penjara bagi tertuduh, Mohd Solim.

Manakala, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh, Bi Bi Jan Nur Qarim.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, seorang lelaki etnik Rohingya ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila tubuhnya dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan gerudi, mesin pengisar, tukul, parang, pisau dan topi keledar.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang juga pemegang kad UNCHR ditemukan terbaring berlumuran darah oleh jirannya yang pergi ke rumah mangsa selepas terdengar bunyi orang bergaduh sebelum ternampak mangsa terlentang di dalam rumah manakala penghuni lain melarikan diri.