X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Sedia juadah lebih sambut kepulangan perantau

Pekerja Warung Tok Pelam yang beroperasi di Kuala Terengganu melayan pelanggan yang berkunjung di gerai berkenaan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kebenaran rentas negeri merupakan khabar gembira bukan sahaja kepada perantau malah kepada para peniaga kerana ia memberikan limpahan rezeki buat mereka dalam menampung mata pencarian.

Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati kebanyakan pengusaha makanan di negeri ini telah membuat persediaan untuk menerima peningkatan pelanggan susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa pada Isnin.

Seorang peniaga, Wan Faizah Mahmood, 47 berkata, antara persediaan yang dilakukan ialah menambah bilangan pekerja di premisnya selain kuantiti makanan bagi setiap menu yang dijual.

"Saya menambah 30 peratus bagi kebanyakan menu dan dua lagi pekerja berbanding 10 orang pekerja sedia ada.

"Kami telah membuat persiapan sejak semalam kerana pagi ini gerai jualan telah mula dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan dari luar daerah dan luar Terengganu," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Isnin.

Wan Faizah yang juga Pengurus Warung Tok Pelam berkata, gerai jualannya yang beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 2 petang setiap hari selain Selasa turut menyediakan aneka menu termasuk makanan tradisional Terengganu.

Gambar dari kiri: Wan Faizah, Najihah
Gambar dari kiri: Wan Faizah, Najihah

Antara juadah disediakan ialah nasi minyak, nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak, nasi kuning, nasi kunyit, sate, nasi beriani, aneka mi, keropok lekor serta pelbagai jenis kuih muih.

Menurut Wan Faizah, peningkatan ketara pelanggan biasanya pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu.

Katanya, selain menerima pelanggan yang menikmati hidangan di gerai, dia yang memulakan operasi pada Mac 2020 itu turut menyediakan kemudahan penghantaran makanan ke rumah pelanggan.

"Untuk hari bekerja kita biasanya terima sekitar 100 pelanggan sehari dan kita jangka berlaku peningkatan lebih 150 pelanggan pada hujung minggu ini selepas rentas negeri dibenarkan," katanya.

Bagi peniaga gerai nasi bajet, Hairul Haizat Zali Armi, 24, pula menambah kuantiti makanan yang dijual bagi menampung peningkatan pelanggan.

"Kami ada buat penambahan jualan kepada 20 ekor ayam sehari berbanding 16 ekor sebelum kebenaran rentas negeri.

"Selain itu, lauk-pauk akan ditambah seperti lauk ikan keli, cencaru serta daging masak kicap kerana ada pelanggan yang membeli tiga bungkus ke atas kerana anak-anak dari luar Terengganu pulang ke kampung," katanya yang beroperasi di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus.

Juliana (tengah) melayani pelanggan yang berkunjung ke gerainya.
Juliana (tengah) melayani pelanggan yang berkunjung ke gerainya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga nasi bajet, Juliana Mohamad, 37, berkata, dia turut menambah kuantiti makanan sehingga 30 peratus berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini purata pelanggan seramai 200 orang dalam sehari, selepas rentas negeri dibenarkan mungkin akan berlaku penambahan sehingga 300 pelanggan setiap hari," katanya yang berniaga di Dataran Che Kundur, di sini.

Selain itu, peniaga ayam gunting, Najihah Yusof, 47 pula berkata, terdapat peningkatan 20 peratus bagi perniagaan ayam gunting yang diusahakannya.

"Ada penambahan bagi kuantiti makanan yang dijual kepada 10 paket besar ayam gunting.

"Biasanya saya jual tujuh paket ayam gunting yang mana setiap satu mengandungi 14 keping (ayam saiz besar) dan 50 keping bagi ayam saiz kecil,"katanya yang telah setahun menjalankan perniagaan.

Sementara itu, peniaga nasi beriani, Muhammad Ghazali Mat Rani, 36, berkata, dia akan melihat situasi pelanggan terlebih dahulu sebelum menambah kuantiti jualan.

Nasi beriani. - Foto 123rf. (Gambar kecil, Muhammad Ghazali)
Nasi beriani. - Foto 123rf. (Gambar kecil, Muhammad Ghazali)

"Jika pelanggan ramai kita masak nasi lebih banyak. Setakat ini paling banyak buat dalam dalam 250 pek sehari.

"Mungkin akan tambah kepada 300 pek sehari kerana kami jangka pelanggan akan bertambah selepas kerajaan benarkan rentas negeri," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!