Isu Felda: Ambil alih FGV selesai masalah, kata Mazlan

Mazlan
Mazlan
A
A
A

MELAKA TENGAH - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yakin masalah bebanan hutang tinggi yang membelenggu Felda dapat diselesaikan menerusi langkah pemulihan.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, idea mencadangkan kerajaan baharu membuat suntikan dana ataupun pinjaman dilihat tidak relevan ketika ini kerana sudah pasti akan dibebani kadar pinjaman yang tinggi.

Menurutnya, seharusnya Felda yang merupakan pemegang syer terbesar di FGV dengan 34 peratus saham boleh mengambil semula pajakan aset kira-kira 320 hektar tanah yang keseluruhan berjumlah RM2.5 bilion selain pemilikan 68 kilang sawit di seluruh Malaysia dengan mampu mencecah pendapatan tahunan hingga RM1 bilion.

"Kerajaan tak perlu membuat pinjaman baharu untuk pulihkan Felda, tapi cadangan saya adalah ambil alih FGV sebagai jalan penyelesaian membebaskan Felda dari hutang yang tinggi.

"Bagaimanapun soalnya, ‘golden syer’ adalah kerajaan pusat, terpulang sama ada kerajaan bersetuju atau tidak dengan keputusan itu ataupun membuat pinjaman baharu," katanya.

Mazlan berkata demikian selepas penyerahan dokumen permohonan pengiktirafan Pertubuhan Peladang di negeri Melaka sebagai Tanah Adat Melaka (MCL) di Seri Negeri, Ayer Keroh,di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan akan membentangkan Kertas Putih berhubung Felda pada sidang Parlimen depan dengan harapan segala penyelewengan serta ketirisan yang berlaku termasuk yang pernah dibangkitkan sebelum ini diambil tindakan dan mereka yang terlibat dibawa ke pendakwaan.

Menurutnya, dua isu yang dibangkitkan menerusi kertas putih itu berhubung dakwaan penyelewengan dan ketirisan di dalam Felda serta langkah pelan pemulihan memandangkan FELDA berdepan hutang yang besar kira-kira RM8 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya pelan pemulihan, baru langkah-langkah lain akan dibuat kerajaan termasuk melihat semula aset Felda yang dianggarkan sebanyak RM20 bilion dan yakin kerajaan PH dapat menyelesai dan memulihkan keadaan Felda dalam tempoh lima tahun pemerintahan ini," katanya.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Felda, Yusof Noor menyuarakan agensi itu boleh diselamatkan dengan suntikan dana kerajaan RM7 bilion.

Dalam perkembangan lain, Mazlan turut mendakwa realitinya situasi di Felcra sebenarnya lebih teruk daripada Felda dan mencadangkan supaya agensi terbabit juga perlu melalui Kertas Putih sidang Parlimen.

"Ia bagi meneliti ketirisan dan penyelewengan yang berlaku dalam agensi itu," katanya.