X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Malaysia makin pulih daripada Covid-19: Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - Trend menunjukkan Malaysia semakin pulih daripada pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, analisis situasi semasa jangkitan Covid-19 mendapati penularan wabak berkenaan akan pulih dalam beberapa minggu kebelakangan ini khususnya aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital.

"Situasi ini sedikit sebanyak menunjukkan kesediaan negara serta masyarakat untuk memasuki fasa endemik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati trend yang menurun sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 bagi indikator utama seperti kes harian, kes aktif, kematian, kes unit rawatan rapi (ICU) dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Pada ME ke-40 iaitu daripada 3 hingga 9 Oktober, terdapat sebanyak 63,722 kes Covid-19 telah dilaporkan berbanding 83,368 kes pada ME ke-39. Ia turun sebanyak 23. 6 peratus," jelas beliau.

Beliau berkata, penurunan itu juga telah berlaku secara konsisten sejak enam minggu kebelakangan ini iaitu pada ME ke-34.

"Sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 iaitu penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39," katanya.

Ujarnya, KKM merekodkan sebanyak 700 kes kematian dengan purata 100 kes sehari pada ME ke-40 iaitu menurun 50.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Terdapat sebanyak 778 kes yang memerlukan rawatan di ICU iaitu menurun sembilan peratus berbanding ME ke-39.

"Penurunan 11.2 peratus turut direkodkan pada kes yang memerlukan bantuan pernafasan iaitu 331 kes pada ME ke-40," katanya.

Bagi kluster pula, katanya, hanya 79 kluster dicatatkan pada ME ke-40.

"Daripada jumlah ini, terdapat penurunan sebanyak 21 kluster berbanding ME ke-39. Sebanyak 43 kluster adalah merangkumi kluster tempat kerja, selain kluster komuniti (25), kluster kumpulan berisiko tinggi (enam) dan kluster keagamaan (lima)," katanya.

Selaras dengan perkembangan positif itu, beliau berkata, masyarakat dinasihatkan agar tidak leka dan cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.

"Kita wajar mengambil pengajaran dari peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial," katanya.

Sehubungan itu, katanya, melalui inisiatif 'reopening safely', semua pihak perlu memainkan peranan yang penting bagi bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

"KKM ingin menasihatkan kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa mengamalkan pematuhan (SOP) dan meningkatkan penilaian kendiri terutama apabila sempadan negeri dibuka semula pada hari ini (Isnin)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!