Pemimpin perlu bijak tangani kemarahan rakyat

Anuar semasa menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah Deepavali dan perasmian Dewan Majestic, semalam.
Anuar semasa menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah Deepavali dan perasmian Dewan Majestic, semalam.
A
A
A
PORT DICKSON - Kebijaksanaan pemimpin di semua peringkat sangat diperlukan bagi membantu meredakan kemarahan yang tercetus sehingga boleh menyebabkan perpecahan dan krisis berpanjangan.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat adalah jauh lebih penting, berbanding perasaan marah rakyat akibat beberapa kes berlaku sejak kebelakangan ini.

"Pemimpin tidak sepatutnya hanya mempertahankan kaum atau agamanya sahaja, tetapi perlu berpegang teguh kepada prinsip keadilan sejagat. Keputusan akhir yang dibuat mesti dihormati sama ada dalam kalangan pihak yang setuju atau sebaliknya.

"Pihak terlibat harus terima dan dapat maklumat benar mengenai apa yang berlaku supaya dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya pada Majlis Jamuan Muhibbah Deepavali dan perasmian Dewan Majestic di sini, semalam.

Beliau merujuk insiden kekacauan di Kuil Sri Maha Mariamman hingga menyebabkan penjawat awam cedera dalam rusuhan.

Menurutnya, keganasan tidak sepatutnya dijadikan kaedah menyelesaikan apa juga isu berbangkit.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar memberi kerjasama dan sokongan padu kepada pasukan keselamatan dalam melaksanakan tindakan bagi memelihara keamanan masyarakat.

"Jangan sesekali kita bertolak ansur terhadap dalang yang melakukan keganasan. Saya tidak peduli jika yang terlibat itu adalah orang Melayu, Cina atau India, siapa yang cetuskan keganasan, mereka perlu diambil tindakan.

“Kita juga perlu beri sokongan kepada pihak berkuasa terutama polis dan semua agensi kerajaan semasa mereka melaksanakan tugas, agar mereka itu tidak diganggu," katanya.
Artikel Berkaitan: