X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

'Teruja tunggu anak cucu pulang, tetapi tetap bimbang'

Yussoff dan isteri sentiasa menantikan kepulangan anak-anak mereka.
A
A

BALIK PULAU - Walaupun teruja menanti kepulangan anak dan cucu setelah sekian lama tidak berjumpa, namun timbul juga perasaan bimbang 'takut-takut' jika ada antara mereka membawa 'buah tangan' yang tidak diduga.

Bagi Yussoff Johar, 66, dari Kampung Sungai Pinang di sini, persiapan rapi termasuk penyediaan cecair sanitasi dan kelengkapan lain telah disediakan olehnya dan isteri yang selama ini hanya menunggu kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan.

Pesara kerajaan itu berkata, sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, dia tidak dapat berjumpa dengan empat anak dan empat cucunya yang kini membawa haluan dan kerjaya masing-masing.

"Tiga anak saya menetap di Lembah Klang dan seorang lagi di Melaka.

"Lebih setahun enam bulan mereka tidak pulang ke pangkuan kami kerana patuh dengan PKP dan hanya panggilan video melalui aplikasi WhatsApp yang menjadi penghubung kami melepaskan rindu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Hanya panggilan video melalui aplikasi WhatsApp menjadi penghubung antara mereka.
Hanya panggilan video melalui aplikasi WhatsApp menjadi penghubung antara mereka.

Yussof berkata, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula Isnin, semua anak-anaknya telah berpakat untuk pulang serentak pada minggu depan dan bercuti beberapa hari di sini untuk melepaskan rindu.

Menurutnya, hidangan kari ikan semilang air tangan ibu mereka telah dipesan awal untuk santapan bersama nanti selain mereka rindu untuk menikmati buah durian Balik Pulau yang ternyata mempunyai cita rasa dan keenakan tersendiri, namun kini bukan lagi musim buah berkenaan.

"Untuk menunaikan hasrat dan penuhi keinginan mereka, saya dah siap beberapa balang buah durian sejuk beku khas untuk mereka.

"Pastinya banyak aktiviti yang telah kami rancang untuk adakan bersama-sama termasuk gotong royong bersihkan dan baik pulih kediaman mereka membesar sebelum ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!