Lanjut tempoh RTD Segamat sehingga 31 Mac

Tan Hong Pin
Tan Hong Pin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memutuskan untuk melanjutkan tempoh Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Segamat 2030 (Penggantian) sehingga 31 Mac ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, langkah itu bagi membolehkan warga daerah Segamat menyertai dan menyumbang sebarang bentuk bantahan dan cadangan yang bakal memberi kesan secara menyeluruh kelak.

"Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ini pada awalnya berlangsung selama satu bulan bermula dari tarikh notis pemberitahuan disiarkan iaitu 10 Februari sehingga 10 Mac nanti.

"Namun, Kerajaan Johor melihat penyertaan awam amat penting di samping mengambil maklum pandangan dan cadangan pelbagai pihak sekali gus menterjemah hasrat merakyatkan pembangunan negeri Johor," katanya di sini hari ini.

Hong Pin berkata, RTD Segamat 2030 (Penggantian) merupakan kajian bersifat menyeluruh bagi menggantikan sepenuhnya RTD Segamat 2020.

"Lantaran itu, program publisiti dan penyertaan awam ini menjadi platform mempamerkan cadangan yang dirangka kerajaan negeri kepada umum untuk disemak dan dinilai kembali oleh warga Segamat.

"Malah, program ini juga menjadi ruang dan peluang penting bagi para pemilik tanah yang terlibat dalam cadangan pengezonan guna tanah di dalam kawasan RTD berkenaan," katanya.

Beliau berkata, program publisti dan penyertaan awam berkenaan merterjemah komitmen Kerajaan Johor menyuburkan semangat demokrasi menerusi gagasan pemberdayaan akar umbi dalam mendasari agenda pembangunan negeri Johor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau menyeru orang ramai khususnya warga Segamat untuk menyemak draf tersebut, menyalurkan sumbangan idea berbentuk pandangan dan cadangan.

"Antara saluran yang boleh digunakan adalah menerusi Borang Penyertaan Awam Program Publisiti dalam pautan laman sesawang Majlis Daerah Labis (MDL) dan Majlis Perbandaran Segamat (MPS).

"Selain itu, boleh berkunjung ke pejabat-pejabat MPS, MDL, Pejabat Tanah Segamat, Pejabat Tanah dan Daerah Kecil Labis, Pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Johor serta Pejabat Daerah Segamat.

"Orang ramai juga mendapatkan menyemak menerusi aplikasi telefon pintar Segamat 2030 yang boleh dimuat turun di Google Playstore atau Apps Store," katanya.

Hong Pin menyeru warga daerah Segamat untuk memanfaatkan perlanjutan tempoh program publisiti dan penyertaan awam itu bagi mencorak potensi utama pembangunan Segamat sebagai pusat pertumbuhan ekonomi di wilayah utara Johor.