Pemandu langgar lari 'rider' serah diri di balai polis

Rakaman video papan pemuka menunjukkan pemandu kereta bertindak melarikan diri dalam kemalangan di Jalan Ampang-Tambun, Ipoh pada Sabtu. Foto: Ihsan pembaca
Rakaman video papan pemuka menunjukkan pemandu kereta bertindak melarikan diri dalam kemalangan di Jalan Ampang-Tambun, Ipoh pada Sabtu. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang penghantar makanan cedera apabila motosikal dinaikinya dilanggar sebuah kereta yang mengubah haluan secara tiba-tiba di Jalan Ampang-Tambun di sini pada Sabtu.

Kejadian tersebut tular di media sosial apabila pemandu kereta terbabit bertindak melarikan diri dengan membiarkan penunggang motosikal berusia 34 tahun itu di tepi jalan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemandu kereta berusia 48 tahun itu bagaimanapun sudah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi berhampiran Balai Polis Tambun di sini.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta mengubah haluan dari kanan ke kiri jalan sebelum menghimpit dan melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan, manakala pemandu kereta pula terus melarikan diri sejurus kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mior Faridalathrash berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut dan siku.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa memandu lebih-lebih lagi ketika peningkatan kenderaan di atas jalan berikutan kelonggaran perjalanan pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara," ujar beliau.