Bayi kelahiran Kedah terima sumbangan RM100

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

LANGKAWI - Bayi kelahiran Kedah pada 2021 akan menerima sumbangan RM100 dalam bentuk Tabungan Simpan SSPN Prime melalui Program Anakku Sejahtera yang dilancarkan pada Ahad.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada rakyat Kedah berpendapatan rendah yang memiliki anak dilahirkan mulai 1 Januari sehingga 31 Disember 2021.

Muhammad Sanusi menerangkan Program Anakku Sejahtera merupakan inisiatif kerajaan negeri bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membantu golongan miskin di Kedah.

"Kerajaan Kedah sentiasa mengambil berat dan proaktif untuk membantu rakyat dalam usaha membasmi kemiskinan secara holistik dengan matlamat memastikan anak-anak tidak mewarisi kemiskinan ibu bapa atau mungkin datuk nenek mereka.

"Dalam hal ini, penting bagi kerajaan untuk mendidik setiap keluarga merancang kewangan dan pendidikan yang berupaya untuk mengeluarkan mereka daripada putaran ganas kemiskinan yang berlarutan secara komprehensif," katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Anakku Sejahtera di Aloft Langkawi, Pulau Tengah, di sini, pada Ahad.

Jelasnya, deposit RM100 akan dimasukkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime selepas permohonan diluluskan.

Menurut beliau, beberapa syarat ditetapkan bagi memastikan memastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasaran iaitu bayi mestilah warganegara dan dilahirkan di Kedah, ibu atau bapa lahir di Kedah atau bermastautin di negeri ini melebihi 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, keluarga yang pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan dan ke bawah turut berkelayakan untuk memohon, borang permohonan dan maklumat lanjut berkaitan program ini boleh didapati di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berhampiran," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, agak mendukacitakan apabila statistik terkini menunjukkan masih ramai ibu bapa belum tampil membuat permohonan sumbangan ini.

Mengulas lanjut, katanya, ini mungkin kerana mereka tidak sedar atau tidak sampai kepada pengetahuan mereka bahawa kerajaan negeri telah bermurah hati untuk membantu mereka menerusi program ini.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah bersetuju memansuhkan syarat permohonan perlu dilakukan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kelahiran yang didaftarkan pada sijil kelahiran," katanya.

Jelas beliau, ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir pada 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021 boleh memohon sumbangan sekiranya menepati syarat yang ditetapkan.

Tambah Muhammad Sanusi, terdapat pelbagai manfaat boleh dinikmati termasuklah pendeposit boleh menikmati pemberian dividen yang sangat kompetitif, perlindungan takaful percuma dan pemberian geran sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak dengan pembukaan akaun Simpan SSPN Prime.