Gubal segera akta khusus kawal selia rokok, shisha dan vape

Gambar sekadar hiasan.
Gambar sekadar hiasan.
A
A
A

KERAJAAN disaran mewujudkan satu akta baharu yang khusus bagi mengawal selia penggunaan rokok konvensional dan sebarang bahan atau alatan moden yang memiliki ciri–ciri sama dengan rokok seperti shisha dan vape dengan segera bagi melindungi kesihatan rakyat Malaysia serta melindungi generasi muda daripada terjebak dengan amalan merokok.

Sebuah akta yang lebih khusus mengenai perkara ini juga adalah penting supaya semua pihak dapat mengetahui lebih jelas mengenai status penggunaan sebarang jenis rokok, shisha dan vape di Malaysia. Walaupun terdapat pelbagai jenis peruntukan undang–undang yang mengawal selia penggunaan rokok konvensional, ramai yang masih keliru dengan status bahan atau alatan lain yang serupa dengan rokok seperti shisha dan vape. Ada yang berpendapat shisha dan vape ini dibenarkan selagi tidak mengandungi bahan–bahan terlarang.

Melalui penguatkuasaan kawasan larangan terbaharu untuk merokok pada 1 Januari lalu yang meliputi restoran dan warung makanan, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan bahawa penggunaan shisha dan vape juga dilarang di premis–premis terbabit sekiranya terdapat bahan nikotin di dalamnya.

Walaupun bahan dalam vape dan shisha ini tidak berasaskan tembakau atau nikotin, adakah asap yang dihasilkan daripadanya sihat untuk dihidu oleh orang sekeliling? Semua persoalan ini perlu dipastikan dan dijawab oleh KKM. Adalah penting kerajaan mengambil satu jalan penyelesaian yang muktamad terhadap perkara ini.

Kajian mendalam perlu dilakukan segera oleh KKM terhadap kesan atau impak penggunaan shisha dan vape ke atas diri individu dan persekitaran agar orang awam tidak berasa risau atau bimbang. Hasil kajian perlu didedahkan supaya pihak berkaitan, khususnya penjual dapat mengambil langkah seterusnya terhadap penggunaan shisha dan vape.

KKM juga boleh melihat langkah–langkah yang telah diambil oleh negara luar mengenai isu ini dan mendapatkan pendapat daripada pakar-pakar kesihatan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selain aspek kesihatan, kajian juga perlu dari aspek kewangan pembeli serta impak sosial terhadap pengguna generasi muda.

Perkara berkaitan rokok, shisha dan vape selalunya dikawal selia di bawah pelbagai jenis peruntukan seperti Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 [Akta 281], Akta Racun 1952 [Akta 366] serta Akta Kastam 1967 [Akta 235]. Akta–akta ini sudah lama wujud dan dilihat tidak sesuai lagi untuk digunakan pada masa kini dalam mengawal selia sebarang aktiviti berkaitan dengan rokok serta bahan atau alat moden yang mempunyai ciri–ciri sama dengan rokok itu sendiri.

Langkah mewujudkan satu peruntukan undang–undang terhadap isu ini juga selaras dengan hasrat Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC, WHO) yang telah ditandatangani dan disahkan oleh Malaysia pada Disember, 2005 yang memperuntukkan setiap negara anggota kepada konvensyen terbabit untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi rakyat masing–masing daripada kesan yang dibawa melalui aktiviti berkaitan dengan rokok.

Artikel Berkaitan:

* Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)