'JBPM harap kes Adib dapat dirungkai'

MOHAMMAD HAMDAN
MOHAMMAD HAMDAN
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, usaha itu sejajar hasrat dan cadangan JBPM supaya pertikaian berbangkit kes Muhammad Adib dapat dirungkai dengan penuh tanggungjawab.

“JBPM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung langkah penubuhan jawatankuasa khas itu.

“Saya mewakili seluruh warga JBPM berdoa agar kes Allahyarham Muhammad Adib mendapat keadilan yang sewajarnya sekali gus menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat awam.

“Keselamatan nyawa penjawat awam khususnya petugas barisan hadapan sentiasa menjadi keutamaan dan tanggungjawab kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes Allahyarham Muhammad Adib.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat.

Tambah beliau, jawatankuasa itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

Artikel Berkaitan: