Syarikat jualan langsung tanpa lesen didenda RM5 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah syarikat menjual produk makanan tambahan kesihatan secara jualan langsung atau 'direct selling' mengaku bersalah dan dikenakan denda RM5 juta atas kesalahan berniaga tanpa lesen sah serta pengubahan wang haram.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Ahmad Kamar Jamaludin di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur pada Isnin.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, syarikat tersebut didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

"Syarikat berkenaan menerima wang berjumlah RM450,000 hasil daripada aktiviti haram dengan menggunakan tiga akaun semasa syarikat di tiga buah bank sebagai peralatan kesalahan.

"Syarikat telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5 juta di bawah Seksyen 4(1) di bawah AMLATFPUAA 2001 atas kesalahan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Azman berkata, syarikat berkenaan turut didenda sebanyak RM150,000 atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan secara langsung tanpa lesen sah daripada KPDNHEP.

"Syarikat berkenaan mengaku bersalah atas kesalahan urus niaga jualan langsung tanpa lesen dan didenda di bawah Seksyen 4(2) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993," jelasnya.

Sementara itu Azman berkata, KPDNHEP akan sentiasa memantau syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti jualan secara langsung dan skim jualan piramid yang meragukan.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh 2016 hingga 2021, KPDNHEP telah melaksanakan tindakan ke atas beberapa kes melibatkan jualan langsung dan skim anti piramid sehingga ke peringkat pelucutan hak bernilai RM55.9 juta dan denda sebanyak RM17 juta," katanya.