Bauksit: Segera sesi pendengaran awam

Ali Akhbar
Ali Akhbar
A
A
A

KUANTAN- Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) mengesa Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan kerajaan negeri menetapkan segera tarikh untuk sesi pendengaran awam bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengurusan perlombongan dan pengeskportan bauksit di negeri ini.

Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan terkini berhubung tarikh dan lokasi sesi pendengaran awam yang akan diadakan.

Menurutnya, sebelum ini kementerian memaklumkan sesi itu akan diadakan sebelum 31 Mac ini tetapi hingga hari ini belum ada sebarang makluman atau pemberitahuan berhubung perkara itu.

“Saya kira masa sudah suntuk justeru tarikh untuk sesi tersebut perlu ditetapkan dalam tempoh terdekat supaya semua pihak berkepentingan dapat turut serta.

“Kita juga ingin tahu maklumat lanjut berkaitan sesi pendengaran awam itu, kalau ada panel hadir, siapakah dia?.Apa latar belakangnya. Nanti kita tanya pasal lain, lain pula jawabnya,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ali Akhbar berkata, sesi itu amat penting supaya semua pihak berkepentingan dan penduduk secara amnya dapat maklumat sejelas-jelasnya terhadap aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit sekiranya aktiviti itu disambung semua.

“Banyak isu-isu yang berbangkit perlu dijelaskan terutama yang berkaitan bidang kuasa kerajaan negeri termasuk aspek SOP.

“Antaranya dalam memastikan kepatuhan terhadap SOP ditetapkan dan menangani berlakunya aktiviti perlombongan secara haram,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, rakyat hendak tahu supaya sekiranya berlaku sebarang masalah yang boleh menjejaskan penduduk, sekurang-kurangnya pihak berwajib ada langkah penyelesaian segera sebagai jaminan segala isu yang pernah dihadapi sebelum ini tidak berulang.

“Sesi pendengaran awam itu juga perlu terbuka supaya pihak yang menyokong dan membantah dapat hadir menyuarakan pandangan untuk dipertimbangkan.

"Bagi penduduk yang menyokong terutama pemilik tanah sudah tentu ada pandangan mereka kerana aktiviti ini akan menjana ekonomi mereka. Begitu juga bagi mereka yang membantah, sudah tentu mereka ada alasan dan cadangan tersendiri.

"Jadi semua pandangan perlu diambilkira sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Menurutnya,pada masa yang sama, pihak berwajib perlu mengambil langkah perlu yang terbaik bagi menghadapi kemungkinan berlaku kekecohan pada sesi pendengaran awam itu ekoran pertembungan pandangan antara dua kumpulan ini.

“Sebab itu kita minta tarikh dan lokasi sesi ini ditetapkan segera supaya semua pihak berpeluang ikut serta dan mengelak rasa tidak puas hati mana-mana pihak.

“Geram sendiri pada asasnya tidak menentang aktiviti ini kerana ia mampu menjana ekonomi kepada penduduk terutama pemilik tanah dan mereka yang bekerja dalam aktiviti tersebut selain manfaat kepada kerajaan negeri.

"Cumanya kita desak ia dijalankan mengikut SOP yang jelas, telus dan tidak menimbulkan masalah kepada rakyat,” katanya.