Operasi sekolah di Johor ikut fasa dua, Pahang fasa tiga

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Johor kekal dibuka pada 10 Oktober dengan berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

KPM dalam kenyataan memaklumkan kementerian itu menetapkan sekiranya sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu hanya akan dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan.

Johor beralih ke Fasa Dua PPN pada 24 September lepas dan memasuki Fasa Tiga berkuat kuasa Jumaat.

Pengoperasian Fasa Dua melibatkan murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Ia turut meliputi murid Tingkatan Enam Semester Dua, Program Prauniversiti Semester Tiga di Sekolah Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan International Baccalaureate Diploma Programme).

“Operasi institusi pendidikan mengikut ketetapan Fasa Tiga akan bermula pada 24 Oktober melibatkan murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya, sekolah harian atau sekolah swasta, prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” menurut KPM.

Bagi pembukaan institusi pendidikan bawah KPM di Pahang pula, KPM memberitahu ia kekal pada 11 Oktober berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN dan pengoperasian pada 25 Oktober pula berdasarkan ketetapan Fasa Empat.

Pahang beralih ke Fasa Tiga pada 24 Sept lepas dan memasuki Fasa Empat berkuat kuasa pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Operasi Fasa Empat melibatkan kehadiran MBK di SKPK, SMPKV dan PPKI, murid prasekolah dan Tahap Satu (Tahun Satu, Dua, Tiga), murid Tingkatan Enam dan kelas peperiksaan awam dan murid prauniversiti di Sekolah Sukan Malaysia.

Ia turut meliputi murid Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah asrama sepenuhnya atau sekolah harian atau sekolah swasta, serta murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan International Baccalaureate Diploma Programme) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

KPM dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa institusi pendidikan di bawah KPM turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

"KPM menyarankan ketetapan ini digunakan di semua institusi pendidikan tidak berdaftar dengan KPM termasuk institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri," katanya. - Bernama