Jawatankuasa pantau pelaksanaan RMK12 akan ditubuhkan

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu jawatankuasa bagi memantau pencapaian, pelaksanaan dasar dan strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini berikutan kerajaan akan sentiasa memantau pelaksanaan projek terbabit bagi memastikannya mengikut jadual.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan mengenai RMK12 di persidangan Dewan Rakyat pada Khamis dan menjawab pertanyaan mengenai keperluan berkaitan penyediaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta mekanisme penyampaian berkesan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menurutnya, terdapat beberapa jawatankuasa bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan pelaksanaan projek ‘sakit’ atau lewat daripada jadual di setiap peringkat kementerian dan negeri seperti Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) dan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg).

“Bagi mencapai ‘outcome’ (hasil) yang telah ditetapkan dalam RMK12, kerajaan telah menggariskan strategi utama yang akan disokong dengan inisiatif serta tindakan perlu dilaksanakan oleh kementerian atau agensi berkaitan.

“Unit Perancang Ekonomi (EPU) misalnya sedang memuktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) yang akan disiapkan pada November ini. Menerusi PPD ini, setiap strategi akan dipetakan dengan inisiatif berkaitan, KPI masing-masing serta kementerian dan agensi penyelaras dan pelaksana yang bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Mustapa, PPD yang mula diperkenalkan ketika Kajian Separuh Penggal RMK11 akan diteruskan bagi digunapakai dalam RMK12 dengan beberapa penambahbaikan.

Dalam pada itu, Mustapa juga menafikan dakwaan bahawa sejumlah RM2 bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan buku RMK12 sebaliknya ia hanya melibatkan kos sebanyak RM4.2 juta termasuk perbelanjaan untuk sesi libat urus, percetakan dan perunding media.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, dakwaan Yang Berhormat Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa sejumlah RM2 bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan buku RMK12 adalah tidak berasas,” katanya.

Sambil menyifatkan proses menyiapkan dokumen RMK12 sebagai pengalaman paling mencabar kerana perlu disemak beberapa kali akibat pandemik Covid-19, beliau berkata, dokumen tersebut juga tidak disediakan oleh perunding asing.

“Ia sebaliknya telah disediakan oleh pegawai EPU dengan kerjasama kementerian dan agensi serta sokongan beberapa pihak berkepentingan yang terlibat dalam menyediakan input dan cadangan.

“Selain itu, EPU juga telah mendapatkan khidmat nasihat daripada INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara), perunding tempatan serta bekas pegawai EPU untuk menyemak konsistensi serta menambah baik gaya bahasa dan kaedah penyampaian dokumen agar mudah difahami,” katanya. - Bernama