Peluang kedua pelampau agama

Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional di Kashi.
Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional di Kashi.
A
A
A

XINJIANG - CHINA . Amat fokus dan tekun menyudahkan lukisan potret seorang lelaki berbaju biru serta berkaca mata.

Kelibat wanita manis ini menarik perhatian penulis, sebaik melangkah masuk ke sebuah kelas seni di Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional di daerah Hotan, di sini.

Berwajah rupawan, senyumannya manis dan tutur bicara amat lembut. Wanita beragama Islam daripada etnik Uighur ini rupa-rupanya baru berusia 22 tahun.

Namun, fahaman ekstremis membawanya ke pusat ini yang dihuninya sejak beberapa bulan lalu.

Kalihinuer menyiapkan potret seorang lelaki yang menyerupai sepupunya di Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional, Hotan.
Kalihinuer menyiapkan potret seorang lelaki yang menyerupai sepupunya di Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional, Hotan.

Menjelaskan punca dia ditempatkan di situ, Kalihinuer Mijiti berkata, sekitar September 2012, dia dan beberapa rakan wanitanya terpengaruh dengan fahaman ekstremis.

Dia diyakinkan bahawa wanita tidak sepatutnya keluar bekerja dan ditegah menggunakan alat perancang kehamilan.

Pemahaman itu membuatkan dia membenci bapanya kerana menghisap rokok dan minum arak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia juga tidak lagi menyayangi ibunya kerana merancang kehamilan.

"Saya tidak bercakap dengan ayah kerana anggap dia bukan Muslim," katanya dengan air mata bergenang.

Mengakui sudah berkahwin pada 2014, dia dan suaminya mempunyai seorang anak perempuan berusia 3 tahun, yang kini dijaga keluarga.

Situasi berbeza dihadapi Mailihaba Yimamu, 23, yang menghuni Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional di Kashi bermula April tahun lalu.

Tulabu Momen, 30, memilih untuk mempelajari kemahiran elektrik.
Tulabu Momen, 30, memilih untuk mempelajari kemahiran elektrik.

Dia dipengaruhi fahaman ekstremisme menerusi neneknya dan mula menjauhi penduduk bukan Islam, serta enggan berkomunikasi dengan mereka.

Gadis Uighur beragama Islam ini turut mempengaruhi adik-beradiknya supaya turut berbuat demikian.

Ditanya berapa lama dia akan berada di situ, Mailihaba menjawab, selepas dia lulus peperiksaan bahasa nasional, undang-undang dan menguasai kemahiran vokasional yang dipelajarinya iaitu bidang rekaan fesyen.

"Di sini saya dapat belajar rekaan fesyen daripada tenaga pengajar profesional. Selepas keluar, saya rancang buka butik pakaian," katanya sambil menguntum senyuman manis.

Di pusat sama, Abdukeyumu Wulamu belajar e-perdagangan dan merancang untuk menjual jed secara atas talian apabila keluar kelak.

Berada di situ sejak 28 April 2018, dia dikehendaki mengikuti program latihan di pusat itu kerana didapati mendengar ceramah agama yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

"Imam beritahu Muslim tidak boleh guna kad pengenalan, jadi saya bakar kad pengenalan saya dan milik keluarga saya.

"Saya juga bakar kedai jiran saya yang jual arak dan rokok serta memukulnya," jelasnya.

Menyesal atas perbuatannya, pemuda berusia 24 tahun itu menasihatkan umat Islam lain supaya menjauhi kegiatan pengganas dan ekstremisme.

Ditanya sama ada ibu bapanya risaukan keadaannya di pusat itu, sambil ketawa dia berkata, mengapa mereka perlu risau?

Katanya, dia baik-baik sahaja di situ dan boleh pulang ke rumah pada Sabtu serta kembali semula pada hari berikutnya.

Pelatih diajar menguasai bahasa Mandarin, diberi pengetahuan mengenai undang-undang dan mempelajari kemahiran.
Pelatih diajar menguasai bahasa Mandarin, diberi pengetahuan mengenai undang-undang dan mempelajari kemahiran.

Menerusi ASEAN Elite China Tour 2019 ke Beijing dan Xinjiang, anjuran kedutaan China bermula 18 hingga 28 Februari lalu, penulis dan 10 wartawan dari Malaysia dan Indonesia turut berpeluang melawat Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional di Shule dan Atush.

Di Shule, penulis bertemu dengan Ayetula Tu Er Sun, 25, yang didapati terpengaruh dengan dakyah negatif seorang rakan dikenali menerusi WeChat.

Katanya, tidak pernah bersua muka, wanita terbabit meyakinkan bahawa sebagai Muslim, perlu menitikberatkan aspek halal dan haram.

Dia dihasut supaya membenci kerajaan tempatan yang didakwa mengabaikan perkara tersebut,

Justeru katanya, dia diajak supaya memberontak dan mempertahankan haknya sebagai seorang Muslim.

"Pada mulanya saya terpengaruh dan menyebarkan mesej-mesej ini kepada orang lain. Hal ini ketahui polis yang kemudian beri pilihan sama ada dipenjarakan jika meneruskan kegiatan saya atau masuk ke pusat latihan ini, dan saya akur untuk berada di sini," katanya.

Kelihatan gembira berada di pusat berkenaan, katanya dia berpuas hati kerana diberikan pendidikan dan kemahiran secara percuma.

Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional dibuka di Xinjiang oleh Kerajaan China, khusus untuk menangani kegiatan pengganas dan ekstremisme.